Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pemandu beri sogokan diburu Polis Perak

6 JUN: Seorang pemandu lelaki sedang diburu polis susulan didakwa memberi suapan kepada seorang anggota trafik seperti yang tular di media sosial, minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata pihaknya memerlukan individu itu untuk tampil bagi membantu siasatan.

Menurutnya lagi, anggota trafik berkenaan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu kini diberi tugas dalaman sementara menunggu hasil siasatan penuh oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagaimanapun, kami memerlukan pemandu berkenaan supaya siasatan dapat diteruskan,” katanya  selepas majlis pemakaian pangkat Asisten Superintendan (ASP) dan Sarjan peringkat Ibu Pejabat Kontinjen Perak di Ipoh, Selasa.

Pada minggu lalu, video berdurasi tujuh saat itu menjadi viral di media sosial dengan memaparkan seorang anggota trafik bersalaman, dipercayai menerima suapan daripada seorang pemandu lelaki.

Dalam pada itu, Hasnan berkata pembabitan kes rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota polis di Perak masih terkawal.

“Setakat ini, tangkapan warga polis Perak yang terlibat dalam kegiatan ini adalah seramai 15 orang dalam tempoh tiga tahun ini.

Yang terakhir sekali, berlaku satu tangkapan lelaki berumur linkungan 30 hingga 40an di Selama, Perak, kira-kira dua minggu yang lepas,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 June 2017 4:33 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: