Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pemandu GrabCar, Uber mudah dikesan jika lakukan kesalahan

13 JUN: Pemandu GrabCar dan Uber perlu mengambil iktibar atas beberapa kes yang berlaku kerana setiap kesalahan yang dilakukan membuktikan mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Ini kerana menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi, pihak berkuasa akan dapat mengesan mereka dalam tempoh 24 jam berikutan data peribadi mereka yang lengkap membolehkan pihak berkuasa tidak berdepan masalah untuk mencari pemandu tersebut.

“Dalam konteks Uber dan Grab ini pemandunya tidak boleh lari kerana data-data mereka lengkap.

“Jadi dalam konteks ini bukan sahaja insiden ini berlaku pada pemandu Uber atau Grab malah ia juga berlaku kepada pemandu teksi sebelum ini.

“Tetapi kalau mereka (pemandu Uber dan GrabCar) ini lebih mudah dikenalpasti kerana data peribadi mereka cukup lengkap dan kerajaan boleh mengesan dengan cepat,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa bersama media di Ibu Negara pada Isnin.

Dalam kejadian terbaru polis berjaya menahan seorang pemandu GrabCar dipercayai merogol seorang wanita di dalam kereta miliknya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan dekat Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam operasi itu, lelaki berusia 30 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata lelaki berkenaan dipercayai merogol wanita berusia 29 tahun yang menggunakan perkhidmatannya pada pukul 4 pagi.

“Ketika kejadian, mangsa dalam keadaan mabuk dan tidak dapat melawan. Selepas itu suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke rumah.

“Polis turut merampas pakaian serta kereta jenis Myvi milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 June 2017 12:52 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: