Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pemandu lori rempuh rumah orang

4 NOV: Seorang lelaki merempuh sebuah kediaman dan kereta milik sebuah keluarga tidak dikenali dengan lori yang dipandu di Rumah Murah Nibong, Dungun pada Jumaat.

Tindakan lelaki itu mengejutkan pemilik rumah.

Menantu pemilik rumah, Khairul Anuar Ghazali, 31, dilaporkan berkata dia dan ahli keluarga lain tidak berada di rumah, dalam kejadian jam 7.30 malam.

Beliau terkejut apabila dihubungi beberapa jiran yang memaklumkan kejadian berkenaan lalu bergegas pulang.

“Jiran kami memberitahu, lelaki tidak dikenali itu memandu lorinya dan merempuh pagar rumah tanpa sebab.

“Dia turut memecahkan cermin lori dan kereta yang diletak dalam kawasan rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian itu dan berkata suspek ditahan sejurus pihaknya menerima laporan.

Katanya, ujian air kencing mendapati suspek berusia 40 tahun itu positif ganja manakala motif kejadian masih disiasat.

“Siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai penghantar kelapa datang dari Kuantan, Pahang untuk menghantar bekalan.

“Mungkin berang tidak menemui lokasi sepatutnya, suspek yang berada di bawah pengaruh dadah mengamuk di rumah mangsa,” kata Zailani.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 November 2017 11:30 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: