Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pemandu treler nahas rentung ditahan

12 JUN: Seorang pemandu lori treler yang terlibat dalam kemalangan meragut lapan nyawa di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong di Jempol petang semalam, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superitenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, pemandu berusia 44 tahun itu ditahan sejurus kemalangan dan saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.

“Lelaki itu mempunyai 15 tahun pengalaman sebagai pemandu dan hanya mempunyai satu saman kerana tidak memakai tali pinggang keledar.

“Siasatan juga akan dilakukan oleh Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang masalah teknikal pada treler itu kerana kenderaan itu dikatakan terbabas selepas dibrek,” katanya dalam sidang media malam tadi.

Dalam kejadian pukul 2.20 petang tadi, lapan orang maut dalam kemalangan yang melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Bahau-Keratong.

Enam daripada mangsa rentung di dalam kereta Proton Exora yang terbakar selepas gagal mengelak treler terbabit.

Dua lagi melibatkan mangsa yang menaiki kereta Perodua Myvi yang cuba mengelak treler namun berlanggar dengan Toyota Vios.

Menurut Noorzainy, pemandu treler terbabit tercampak keluar dari kenderaan itu dan turut memberitahu dia terdengar mangsa di dalam Proton Exora meminta tolong namun tidak dapat berbuat apa-apa.

Katanya lagi, polis masih menunggu waris keenam-enam mangsa yang rentung dalam kejadian itu untuk membuat pengecaman.

“Berdasarkan nombor plat pendaftaran kereta itu kita telah berjaya menghubungi waris mereka di Putrajaya.

“Mereka akan diminta membuat pengecaman mayat dan sekiranya tidak berjaya, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 June 2017 6:19 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: