Kategori Berita Utama

Pemansuhan faedah kad kredit tidak memanfaatkan ekonomi negara

14 MAC: Pendekatan mengurangkan atau menghapuskan bayaran faedah yang dikenakan ke atas kad kredit seperti yang dilaksanakan di United Kingdom (UK) ketika ini tidak membawa manfaat kepada ekonomi negara.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz sebaliknya ia dilihat akan menggalakkan lagi tabiat berbelanja yang tidak berhemat dan kurang berdisiplin dalam kalangan pemegang kad kredit.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, peraturan yang dilaksanakan di United Kingdom (UK) tidak perlu dilaksanakan di Malaysia kerana pelbagai langkah pencegahan telah pun diambil sejak tahun 2006 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengelakkan pengguna kad kredit daripada menanggung hutang secara berterusan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek ketika sesi lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tambahnya antara langkah-langkah lain yang diambil adalah pengeluar kad kredit harus memastikan hanya individu yang layak dan berkemampuan diberikan kemudahan kad kredit.

Ini merangkumi keperluan pendapatan minimum setahun, had bilangan kad kredit yang boleh dimiliki oleh pemegang kad kredit yang berpendapatan RM36,000 atau kurang setahun, had maksimum kredit, larangan menawarkan kad kredit prakelulusan serta mekanisme bagi menangani masalah kewangan dengan cepat.

“Pengeluar kad kredit dilarang mengenakan faedah ke atas faedah tertunggak dan harus mengikuti urutan peruntukan bayaran balik yang ditetapkan bagi melindungi pemegang kad kredit; Institusi kewangan dikehendaki mempertimbangkan situasi pemegang kad kredit yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman akibat kesihatan, pengangguran atau sebab-sebab munasabah yang lain dan menawarkan pelan pembayaran balik alternatif yang sesuai dengan keadaan dan situasi kewangan pemegang kad kredit.

“Program Pengurusan Kredit oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) membantu menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman untuk pemegang kad kredit melalui rundingan dengan institusi kewangan.

“Ini termasuk menstruktur semula pinjaman pemegang kad kredit serta mengurangkan atau menghapuskan faedah dan fi tertunggak,” katanya lagi.

Menurut Othman sehingga akhir bulan Januari 2018, AKPK telah membantu seramai 158,116 pemegang kad kredit dengan jumlah baki tertunggak sebanyak RM6.5 bilion;

Manakala bagi golongan yang berpotensi diisytihar muflis pula, mereka boleh mendapatkan bantuan Perkiraan Sukarela (Voluntary Arrangement, VA) untuk menyelesaikan hutang tanpa sebarang prosiding kebankrapan melalui perkhidmatan seorang penama (Nominee).

“AKPK yang dilantik oleh Kerajaan sebagai Nominee akan merangka pelan penyusunan semula hutang untuk pertimbangan para pemiutang, bagi membolehkan penghutang berkenaan menyelesaikan pembayaran balik pembiayaan mereka dan mengelak dari diisytihar muflis.

“Kerajaan juga telah mengambil inisiatif menggubal sebuah Akta Kredit Pengguna untuk mengawal selia aktiviti pemberian kredit juga akan memperkukuh perlindungan bagi pengguna kredit, termasuk pemegang kad kredit,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 March 2018 11:01 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: