Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PAS akui pemansuhan tol lebuhraya langkah tepat kerajaan

27 OKT: PAS menyambut baik langkah kerajaan untuk memansuhkan dua tol di Lebuhraya Persekutuan.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata tindakan kerajaan ini wajar dipuji kerana berjaya mengurangkan beban rakyat yang melalui tol tersebut setiap hari.

“Amat baguslah hapuskan tol di Lebuhraya Persekutuan, itu yang kita mahu dan sepatutnya telah lama kerajaan berbuat demikian.

“Kita tahu dalam suasana kos sara hidup tinggi, penghapusan tol tersebut dapat menyelesaikan masalah berantai yang dihadapi rakyat yang setiap hari lalu di lebuh raya itu.

“Kalau dulu terpaksa memikirkan kos tol nak pergi kerja, tetapi duit rakyat dapat digunakan kepada keperluan lain dan sekaligus menyelesaikan masalah berantai daripada kos tol berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui media di lobi Bangunan Parlimen sejurus selesai Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Jumaat.

Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang itu juga menyifatkan pemansuhan dua tol di Lebuh Raya Persekutuan itu adalah pendekatan masa panjang yang tepat diambil kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat menghadapi kos sara hidup yang tinggi di bandar.

“Ini langkah yang tepat dan baik, ia bukan macam pemberian BR1M yang dapat menyelesaikan masalah hanya seketika, ini langkah masa panjang yang menguntungkan rakyat,” jelasnya dan juga menyifatkan keseluruhan Bajet 2018 ini adalah bajet PRU Barisan Nasional (BN)

Dalam pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri telah mengumumkan kutipan tol di Plaza tol Batu 3 Shah Alam dan Plaza Tol Sungai Rasau, Klang berkuatkuasa pada 1 Januari 2018 sekaligus bakal menjadikan Lebuhraya Persekutuan sebagai lebuhraya bebas tol.

Selain dua tol berkenaan dalam bajet kali ini juga menyaksikan tol Lebuhraya Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Eastern Link Johor turut dihapuskan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 October 2017 8:47 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: