Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pembahagian kerusi: Azmin rayu jangan kecoh kepada media

11 FEB: Pemimpin PPBM tidak sepatutnya bercakap secara terbuka rasa tidak puas hati jika ada sebarang masalah dalam pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata rundingan berhubung pengagihan kerusi PH bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Selangor masih berjalan dan akan dibahagikan secara adil dan saksama.

“Proses rundingan masih dibuat dan akan diselesaikan dalam masa terdekat sebelum tiba pilihan raya.

“Saya lihat tiada sebab nak pergi ke ‘public domain’ (ruang awam) atau media.

“Biarkan proses berjalan terlebih dulu. Keputusan rundingan itu akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum pilihan raya dan kemudiannya akan diumumkan kepada media,” katanya selepas Majlis Perjanjian Memiliki Rumah di Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehudin Amiruddin, semalam yang mendakwa 12 kerusi UMNO Selangor akan diberikan kepada PKR.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata proses rundingan itu perlu dibuat bersama parti komponen lain dalam PH dengan duduk bersama dan berbincang.

“Bukan saja untuk menang tapi nak memastikan sokongan untuk Pakatan Harapan itu. Jadi kita memerlukan persetujuan bersama. Kita perlu bekerja sebagai pakatan,” katanya lagi.

Beliau berkata, perbincangan itu perlu bagi memastikan PKR, PPBM, PAN dan DAP akan mendapat bahagian di Selangor.

Sementara itu, Azmin berkata, peluang PH untuk menang tetap besar walaupun BN mencalonkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai masing-masing di Sungai Besar dan Sekinchan.

“Terpulang kepada mereka tetapi saya percaya rakyat Selangor cukup bijak dan matang untuk menilai apa yang pakatan sudah laksanakan sejak 2008.

“Letaklah Shahrizat atau Liow. Kalau boleh saya cadangkan Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) bertanding mana-mana parlimen di Selangor dan biar rakyat buat keputusan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 February 2018 10:41 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: