Kategori Berita Utama

Agenda politik siapa disebalik COMANGO?

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berpandangan pembabitan sesetengah pemimpin pembangkang dalam Gabungan NGO Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (COMANGO) berkemungkinan mempunyai agenda politik.

Bagaimanapun, mereka yang dikaitkan dengan COMANGO akhir-akhir ini dilihat mendiamkan diri selepas pendedahan ISMA mengenai Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu yang terbabit tuntutan untuk dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahaya tidak menolak punca kurangnya pemahaman yang penuh berkaitan COMANGO menyebabkan mereka mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri.

isma

Aminuddin dan pemimpin ISMA dalam sidang media

“Kita tak nafikan memang kurang mendapat sambutan daripada pemimpin pihak pembangkang, tetapi kita rasa itu juga disebabkan oleh kurangnya kefahaman mereka daripada apa yang ingin dibawa oleh COMANGO,”

“Mungkin juga ada agenda politik yang menyebabkan mereka terpaksa bersikap sebegitu (berdiam diri),” kata beliau di dalam sidang media di Ibu Pejabat ISMA di Bangi hari ini.

COMANGO sebelum ini dilihat cuba melobi negara-negara anggota PBB untuk memberi tekanan kepada Malaysia supaya mengiktiraf perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam dan perlembagaan negara.

Ekoran itu beliau menambah, perkara ini memerlukan pendedahan yang banyak bagi memberi maklumat kepada segenap lapisan masyarakt mengenai bahaya tuntutan yang dibawa COMANGO dimana sesetengahnya mampu mengugat perlembagaan negara.

“Dari pemerhatian kita sebenarnya walaupun seruan ini banyak dibawa oleh pihak pembangkang, tetapi kita dapati juga walaupun di kalangan pemerintah sendiri pun ramai yang tidak maklum dan faham berkenaan tuntutan mereka ini.

“Ini membimbangkan kita daripada maklumkan kita, ramai juga masyarakat yang tidak faham mengenai tuntutan yang dibawa oleh COMANGO ini,” ujar Aminuddin lagi.

Pendedahan ISMA bertujuan menjelaskan kepada seluruh umat Islam bahawa tuntutan Comango telah mengancam kedudukan Islam di Malaysia yang didalangi tokoh-tokoh liberal dan 54 NGO yang anti Islam.

Antara didedahkan ialah Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Eksekutif MalaysiaKini, Premesh Chandran, Ahli Lembaga Sisters in Islam, Marina Mahathir, Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez dan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel.

Selain itu, ISMA turut menamakan Centre for Independent Journalism, Sonia Randhawa, Setiausaha Malaysia Youth & Students Democratic Movements,Yong Kin Yin, Pengarah Suaram, Kua Kia Soong dan Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas dan Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan.

Manakala antara NGO yang terlibat ialah Persekutuan Kristian Malaysia, Seksualiti Merdeka, Pusat Komunikasi Selangor, Persatuan Guru-Guru Tadika Semenanjung Malaysia, Childline Malaysia dan banyak lagi.

Laporan oleh COMANGO itu antaranya menuntut PBB mendesak Kerajaan Malaysia supaya menandatangani dan patuh pada Perkara 18 International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) yang menjamin hak untuk bebas beragama termasuklah dikalangan orang Islam.

Dengan demikian sebarang kekangan undang-undang atau Perlembagaan yang sebelum ini menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam tidak lagi boleh dilaksanakan sekaligus menghalalkan usaha-usaha memurtadkan umat Islam di negara ini.

Dalam laporan itu juga COMANGO memperjuangkan nasib LGBT dan menuntut kumpulan seks songsang itu diberi layanan dan hak sama rata setaraf dengan yang lain tanpa halangan dari sudut undang-undang ataupun agama.

Beberapa lagi tuntutan COMANGO turut menyentuh Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang didakwa menceroboh kehidupan peribadi individu, maksudnya jika tuntutan COMANGO dikuti maka tiada lagi tangkapan khalwat atau denda atas kesalahan minum arak. Siapa sahaja berhak melakukannya atas nama hak asasi manusia.

Selain itu turut dipertikaikan mengenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak-hak istimewa kaum Melayu yang dikatakan bersifat perkauman dengan kata lain setiap rakyat Malaysia mempunyai hak sama rata, sama seperti diperjuangkan oleh DAP. – 16/11/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 November 2013 5:33 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: