Kategori Berita Utama

Pembangkang boikot sidang Parlimen Selasa ini khianati rakyat

9 MAC: Keputusan ahli parlimen pembangkang (PR) memboikot hari kedua sidang Dewan Rakyat Selasa ini disifatkan mengkhianati rakyat, tegas Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Bung Mokhtar Radin.

Menurut beliau, keputusan itu merupakan satu keputusan yang tidak rasional disamping mengkhianati rakyat yang telah melantik mereka untuk mewakili kawasan masing-masing.

“Itu satu keputusan yang kurang bijak, sudah tentu mereka mengkhianati rakyat yang melantik mereka menjadi wakil rakyat untuk mereka. Jadi rugilah rakyat lantik mereka jika mereka nak boikot sidang Dewan Rakyat kali ini.

Bung-Mokhtar1

Bung Mokhtar

“Mereka (PR) perlu ingat, jika mereka nak boikot sebab keputusan mahkamah, itu adalah perkara yang berbeza dan tidak berkait, Parlimen dan institusi kehakiman itu lain, jadi tidak ada perkaitan,” kata Ahli Parimen Kinabatangan itu ketika dihubungi bnbbc.my.

Tambah beliau lagi, PR perlu lebih rasional dan bijak sebelum mengambil keputusan untuk memboikot sidang Dewan Rakyat yang hany bersidang beberapa kali dalam masa satu penggal.

Pembangkang mengambil keputusan untuk memboikot hari kedua sidang Dewan Rakyat ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Ketua Pembangkang.

Anwar dijatuhkan hukuman tersebut ekoran didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008.

Selain tanda solidariti kepada Anwar, keputusan itu juga diambil sebagai tanda solidariti kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sedang menunggu hukuman yang bakal dikenakan ke atasnya setelah didapati bersalah di bawah Akta Hasutan dalam satu kes perbicaraan baru-baru ini.

Keputusan memboikot itu dinyatakan menerusi kenyataan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook. -bnbbc.my

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 March 2014 7:29 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: