Kategori Berita GSTBerita Utama

Pembangkang setuju GST tetapi bukan sekarang

Pembangkang akhirnya bersetuju Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu dilaksanakan namun memberi alasan masanya belum sesuai.

Menurut pembangkang, hanya sebilangan kecil rakyat Malaysia ketika ini yang membayar cukai pendapatan dan individu menyebabkan tidak relevan sekiranya GST dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

bajetpr“Pelaksanaan GST masih belum sesuai kerana hanya sekitar RM1.8 juta membayar cukai…jika dilaksanakan 29 juta rakyat Malaysia akan membayar GST…GST ini cukai regressive” kata ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad dalam sidang media di Parlimen, Khamis.

Ahli Parlimen DAP Rasah, Anthony Loke berkata bajet alternatif pembangkang akan memfokuskan penjimatan dan pengurusan berhemah melalui pengurangan 10 peratus perbelanjaan pengurusan tanpa penyertaan GST.

“Bajet Pembangkang akan beri penjimatan dan bukan kenaikkan harga.

“Mungkin kerajaan akan naikkan kadar GST sehingga tujuh peratus dalam masa beberapa tahun sahaja jika dilaksanakan,” kata Anthony Loke yang turut hadir dalam sidang media tersebut.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen pula memberi alasan pelaksanaan GST hanya boleh dijalankan apabila pendapatan isi rumah mencapai tahap minimum, RM4,000 sebulan.

Jelas beliau, ianya perlu bagi mengurangkan tekanan daripada pengurangan kuasa beli yang wujud ekoran pelaksanaan GST terutamanya kepada kumpulan berpendapatan sederhana.

“Juga sepatutnya ada pengurangan cukai pendapatan individu dengan lebih meluas dan kerajaan perlu mendedahkan senarai harga barangan yang dikecualikan cukai terutamanya barangan keperluan asas,” katanya selepas membentangkan bajet Pakatan Pembangkang di bangunan Parlimen, Khamis.

Pembangkang sebelum ini mendakwa mereka membentangkan ringkasan Bajet alternatif 2014 untuk mengelak ia ditiru Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang berlaku pada pembentangan Bajet 2013 lalu.

Meneliti Bajet pembangkang, ia cuma lebih tertumpu kepada isu kononnya mahu melaksanakan penjimatan bukannya menabur janji seperti sebelum ini.

Langkah ini mungkin ingin menunjukkan bajet mereka defisit lebih sedikit berbanding bajet kerajaan yang dijangka tinggi.

Kerajaan yang diterajui BN telah memaklumkan akan membentangkan Bajet 2014 pada pertengahan Jun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika itu telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Dasar fiskal yang bertujuan mengurangkan defisit fiskal, mengukuhkan kewangan awam dan memastikan kemampanan fiskal jangka panjang.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa berkenaan yang melibatkan menteri-menteri Kabinet tertentu dan ketua-ketua jabatan. -24/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 October 2013 4:48 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: