Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pembangunan Sabah lebih lancar hasil hubungan erat KKLW

15 JAN: Kerajaan Sabah kini lebih mengetahui projek dan peruntukan dibawa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk negeri ini hasil kerjasama erat kedua-dua pihak.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata kerjasama terbabit dizahirkan menerusi Jawatankuasa Tertinggi Bersama Perancang dan Pemantauan Projek KKLW-Kerajaan Sabah yang julung kali diadakan hari ini.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata bekas menteri KKLW sebelum ini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak pernah berjumpa, apa lagi berunding dengan pihaknya berhubung projek yang diberikan peruntukan oleh kerajaan Persekutuan melalui kementerian itu.

“Hari ini menteri telah bertukar dan Alhamdulillah, menteri sekarang membuka ruang kepada saya sebagai Ketua Menteri untuk berbincang dan berunding berkaitan permintaan serta keutamaan di negeri ini.

“Dalam mesyuarat tadi, kita bincang panjang lebar berkaitan permintaan dan pelaksanaan projek di negeri ini demi kebaikan rakyat luar bandar. Kerajaan negeri merakamkan tahniah dan terima kasih kepada menteri serta KKLW,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bersama Perancang dan Pemantauan Projek KKLW-Kerajaan Sabah yang turut dihadiri Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya memperuntukkan RM927.64 juta atau 23.98 peratus kepada Sabah daripada keseluruhan Bajet Pembangunan KKLW berjumlah RM3.87 bilion pada tahun ini.

Beliau berkata, ia membabitkan 102 projek dengan 31 daripadanya adalah projek baharu, manakala 71 lagi adalah projek sambungan.

Sementara itu, bagi agihan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), daripada RM665.1 juta peruntukan disediakan kerajaan, Sabah menerima RM220 juta.

Sabah juga menerima RM160 juta bagi projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Jalan Luar Bandar (RM253.5 juta), projek jalan kampung (RM38 juta) serta projek ameniti sosial RM6.5 juta).

“Peruntukan kepada Sabah besar tetapi tiada makna jika projek tidak dapat disempurnakan. Adalah penting projek dapat dilaksanakan hingga siap agar memberi faedah kepada rakyat khususnya masyarakat luar bandar Sabah.

“Sebab itu kita mewujudkan Jawatankuasa Tertinggi Bersama Perancang dan Pemantauan Projek KKLW-Kerajaan Sabah untuk bincang projek yang diberi keutamaan. Kerajaan Sabah lebih tahu apa yang diperlukan, selain dapat melakukan pemantauan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 January 2018 9:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: