Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pembantu am rendah kena bayar RM220,000

23 OKT: Hanya disebabkan meminta suapan sebanyak RM44,000 untuk menarik balik laporan polis dibuat anaknya, seorang pembantu am rendah didenda RM220,000, selain di penjara empat tahun.

Sanusi Abdul Rashid, 61 yang berhadapan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.

Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM150,000 bagi pertuduhan pertama dan masing-masing empat tahun penjara dan denda RM35,000 bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Bagaimanapun hakim memerintahkan hukuman  penjara dijalankan serentak bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Sanusi didakwa meminta suapan wang RM30,000 daripada Badrun Abdul Hadi bagi menarik balik laporan polis yang dibuat pada 17 Ogos 2013.

Tertuduh turut didakwa meminta rasuah RM7,000 daripada individu yang sama melalui satu perbualan telefon di Pusat Khidmat Pelanggan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, bapa kepada sembilan anak itu didakwa menerima suapan RM7,000 daripada  Bahrun di pondok awam berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada 23 Ogos tahun sama.

Dia didakwa atas semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar keseluruhan denda sebanyak RM220,000 dan membayar wang jaminan tambahan sebanyak RM20,000 jika mahu penangguhan bagi hukuman penjara selepas peguambela tertuduh memohon penangguhan pelaksanaan kerana mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Aris dan Hatim Musa.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 October 2017 3:04 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: