Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Setia Alam terbantut

20 JUN: Hasrat Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) untuk membina sebuah Balai Bomba dan Penyelamat baharu di Setia Alam, terbantut sejak 2015 berikutan tindakan tidak berhati perut Kerajaan Negeri Selangor dibawah PKR yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar kerajaan negeri tergamak kerana membiarkan kira-kira 100,000 penduduk di sekitar Setia Alam berhadapan ancaman dan risiko berlaku kebakaran dengan mengenakan caj premium tanah sebanyak RM4.9 juta terhadap tanah seluas 2.8 ekar untuk dibuat Balai Bomba dan Penyelamat.

Malah apa yang dikesalkan, tegas Noh Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sanggup mengenepikan keperluan rakyat dengan meraih keuntungan atas angin tanpa mengeluarkan perbelanjaan langsung.

“Tanah ini diperuntukkan pemaju untuk membina Balai Bomba, tanah ini tanah pemaju dan bukan hak kerajaan negeri.

“Demi kepentingan rakyat, kenapa kerajaan negeri nak berniaga atas angin? Ambil untung dekat 5 juta sedangkan mereka tidak mengeluarkan apa-apa belanja pun,” jelas Noh.

Noh berkata demikian kepada media ketika melakukan tinjauan di tapak cadangan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat, di Setia Alam, pada Selasa.

Kelihatan bersama ialah Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim.

Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor memaklumkan beberapa surat permohonan telah dihantar kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk meminta caj premium tanah tersebut dikenakan dengan kadar yang setimpal.

“Caj premium tanah RM4.9 juta. Kos membuat Balai bomba kelas D ini hanya RM3 juta.

“Jadi seperti kata pepatah Melayu, mahal tali daripada lembu.

“Kita dah banyak kali hantar surat rayuan, tapi malangnya Azmin memberi alasan tindakan ini selari dengan pekeliling jemaah exco kerajaan negeri dan tidak patut diberi pembayaran norminal,” tegas Noh lagi.

Susulan tindakan Kerajaan Negeri Selangor ini menyebabkan ‘respon time’ pihak bomba untuk melaksanakan tugas penyelamat di kawasan Setia Alam memakan masa lebih 10 minit kerana Balai Bomba dan Penyelamat sedia ada terletaka agak jauh dari sini.

“Balai bomba yang terdekat hanyalah di Seksyen 15 Shah Alam dan di Bukit Jelutong. Respon time yang diambil untuk satu tugas menyelamat terpaksa mengambil masa lebih 10 minit.

“Jadi memang patut diwujudkan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam bagi memastikan sasaran respon time di bawah 10 minit tercapai,” jelasnya lagi.

Turut menerima nasib yang sama ialah cadangan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Sungai Buloh apabila dikenakan caj premium tanah yang mahal iaitu RM2.4 juta.

Ditanya adakah pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat ini akan dimulakan, Noh menegaskan ianya terpaksa ditangguhkan selagi Kerajaan Negeri belum dapat memberikn caj premium tanah yang munasabah.

“Yang menjadi hairan, kerajaan negeri lain boleh sahaja mengenakan caj premium murah, hanya ratusan ribu dan ada yang mengenakan caj norminal sahaja.

“Inilah akibatnya jika kerajaan negeri dikuasai oleh pembangkang sehingga perkara untuk kepentingan rakyat diketepikan.

“Kalau kerajaan negeri diperintah BN saya pasti caj norminal akan dikenakan dan Balai Bomba ini sudah siap dan dapat digunakan sekarang.

“Pasti kita tak perlu merayu macam ini kalau kerajaan negeri diterajui BN, dan yang rugi sekarang adalah rakyat kerana perkara macam ini pun dipolitikkan kerajaan negeri,” jelasnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 June 2017 7:41 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: