Kategori Berita Utama

Pembuat, penyebar berita tak sepatutnya takut, tapi perlu bertanggungjawab

4 FEB: Sesiapa sahaja tidak dapat menghalang seseorang daripada berkarya dalam bidang penulisan tetapi mereka haruslah bertanggungjawab atas apa jua penulisan yang dibuat.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata pembuat dan penyebar berita ini tidak perlu takut dengan penguatkuasaan undang-undang ini kelak jika mereka berani bertanggungjawab terhadap apa jua yang ditulis dan disebarkan.

“Semua bebas menulis selagi mana ia tidak mengganggu gugat keharmonian masyarakat hari ini dengan mengeluarkan artikel yang memfitnah dan bertanggungjawab dengan apa jua penulisan yang dibuat maka tiada apa yang perlu dia takut.

“Yang penting kita mahu kebertanggungjawaban yang tinggi daripada penulis-penulis ini. Tulislah selagi mana nak tulis yang mana kita tidak boleh menghalang orang menulis,” katanya kepada media bagi mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak termasuk pembangkang yang mempertikaikan penguatkuasaan undang-undang ini kelak selepas majlis Hi-Tea dan santai bersama guru besar, guru-guru dan YDP PIBG Parlimen Setiawangsa pada Sabtu.

Tambah Ahmad Fauzi, perbuatan menyebarkan berita palsu tidak boleh dibiarkan kerana penyalahgunaan terhadap kemajuan teknologi tersebut mampu merosakkan akal rakyat selain meracuni pemikiran mereka.

“Semua yang tak bersalah akan dianggap bersalah sekiranya penulisan itu dibiarkan tanpa sikap tanggungjawab.

“Sekat memang tak boleh, kita tutup sini dia buka yang lain pula. Bak kata pepatah ‘don’t hit and run’ tolonglah bertanggungjawab,” katanya lagi.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri menegaskan pembuat dan penyebar berita palsu tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said Azalina menerusi laman Facebooknya mengumumkan kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu membendung berita palsu di negara ini.

Azalina berkata, jawatankuasa khas itu bertanggungjawab mengkaji undang-undang berkaitan sebelum dibawa kepada pertimbangan Kabinet dan ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menurut beliau, jawatankuasa yang dianggotai beberapa agensi keselamatan itu telah bermesyuarat buat kali pertama Rabu lalu dengan dipengerusikannya sendiri.

Mengulas mengenai sama ada beliau akan dicalonkan sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ujar Ahmad Fauzi beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kerana baginya semua gerak kerja telah dilakukan.

“Sesiapa sahaja dipilih kita akan bagi sokongan 100%. Ia adalah demi kemenangan Barisan Nasional secara keseluruhannya.

“Yang penting saya telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai ahli parlimen di Setiawangsa selama lima tahun dengan penuh dedikasi dengan mendekati semua lapisan masyarakat dan menyelesaikan semua permasalahan yang timbul,” katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut yang dihadiri 180 orang guru dan wakil PIBG daripada 18 sekolah kebangsaan di Parlimen Setiawangsa, Ahmad Fauzi memaklumkan Pelan Pembangunan Pendidikan tahunan Setiawangsa dalam proses pelaksanaan dalam usaha merancakkan lagi sistem pendidikan untuk lima tahun akan datang.

Tambahnya sehingga kini beliau telah menerima respon yang baik daripada semua guru dan ibubapa dalam merealisasikan pelan tersebut.

“Perbincangan sudah dimulakan dan dijangka dalam masa satu dua bulan lagi akan dilaksanakan bagi keseluruhan sekolah rendah dan sekolah menengah di Parlimen Setiawangsa.

“Ketika ini kita dalam proses memperincikan apa aspek yang diperlukan dalam meningkatkan mutu pendidikan dalam membentuk anak-anak murid yang lebih holistik,” ujarnya.

Berdasarkan perancangan Ahmad Fauzi yakin beberapa program akan dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

“Sebelum ini semua program dilakukan tanpa perancangan rapi tapi diharap dengan adanya pelan pembangunan pendidikan ia akan lebih teratur,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 February 2018 1:20 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: