Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pembuli OKU berdepan penjara 7 tahun

18 MAC:  Dua remaja lelaki yang membuli lelaki orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang hari ini atas dua pertuduhan mencederakan dan mencuri.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek yang berusia 18 tahun itu dibicarakan dalam mahkamah tertutup kerana masih di bawah umur.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Nor Akmal Mohamad, 20, di Taman Permainan Kanak-kanak Jalan 5/1, Taman Sri Kluang, pada jam 4 petang, 9 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencederakan dan dibacakan bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-duanya didakwa mencuri beg sandang milik mangsa yang mengandungi telefon bimbit jenama Samsung J2 dan wang tunai RM20 pada waktu yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 KK kerana mencuri dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afiq Zubar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Majistret N Arun menetapkan 25 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 seorang.

Sebelum ini video buli membabitkan OKU itu tersebar di  media sosial ditonton bapa mangsa sebelum membuat laporan polis.

Kedua-dua remaja ditahan di Taman Gunung Lambak pada 13 Mac lalu dan ujian saringan air kencing adalah positif dadah jenis methamphetamine.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 March 2018 3:48 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: