Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pemilik saham KPF kini pemegang saham FGV

12 JAN: Saham milik peneroka Felda dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF) kekal menjadi milik mereka walaupun ia telah dijual kepada Felda Global Ventures (FGV), malah mereka kini dijangka bakal mendapat keuntungan lebih lumayan selaku pemegang saham dalam FGV.

Dakwaan sesetengah pihak, terutama di ruang siber dan blog-blog bahawa nasib saham KPF milik peneroka Felda kini tidak terjamin pulangannya selepas saham berkenaan dijual kepada FGV adalah tidak berasas dan pihak yang membuat dakwaan itu jelas “buta” ilmu perniagaan saham.

Anuar Abdul Manap Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM)

Anuar Abdul Manap
Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM)

Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abd Manap ketika dihubungi oleh bnbbc.my pada Ahad berkata, semua saham KPF yang dijual kepada FGV itu kekal hak milik peneroka dan yang bertukar kini cuma pengurus pelaburan atau dana berkenaan.

“Jika selama ini keuntungan pelaburan dana saham KPF peneroka itu diperolehi melalui pelaburan-pelaburan FHB, kini ia akan diperolehi melalui empayar perniagaan FGV.

“Jika dulu FHB mampu memberikan dividen yang baik kepada peneroka selaku pemegang saham berkenaan, sudah tentu FGV yang merupakan syarikat senaraian awam serta turut mempunyai pelaburan peringkat antarabangsa di luar negara mampu memberikan pulangan lebih lumayan,” kata Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Johor.

Ini sebenarnya adalah proses penambahbaikan terhadap ekuiti yang dimiliki oleh peneroka, kata beliau.

Selain saham KPF yang dijual itu kekal milik peneroka, koperasi itu akan menggunakan sebahagian daripada RM2.2 bilion yang diraih daripada penjualan kepentingan dalam FHB itu untuk membayar bonus khas kepada lebih 200,000 ahlinya.

Sebahagian lagi, akan dilabur semula dalam beberapa sektor yang berpotensi menjana keuntungan seperti sektor perladangan di dalam dan luar negara.

“Ini menunjukkan peneroka selaku pemilik saham mendapat untung berganda, iaitu bonus hasil penjualan saham itu serta keuntungan masa depan kerana mereka kini adalah pemegang saham dalam FGV pula,” kata Anuar.

Peneroka yang memiliki saham KPF dalam FHB kini adalah pemegang saham dalam FGV

Peneroka yang memiliki saham KPF dalam FHB kini adalah pemegang saham dalam FGV

FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) baru-baru ini telah membeli baki 51 peratus saham yang tidak dimilikinya dalam FELDA Holdings Bhd (FHB) daripada Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) dalam satu janji niaga bernilai RM2.2 bilion.

FGV mencapai persetujuan dengan KPF untuk mengambilalih kira-kira 113 juta saham FHB yang dimiliki koperasi itu pada harga RM19.61 sesaham.

Pembelian itu menyaksikan FGV muncul sebagai sebuah syarikat perladangan minyak sawit bersepadu sepenuhnya.

FHB kini adalah pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia berasaskan jumlah pengeluaran di mana tahun lalu ia menghasilkan 3.3 juta tan MSM yang mewakili lapan peratus daripada pengeluaran dunia bagi komoditi itu.

Operasi FGV disokong hampir 19,000 pekerja yang dibantu lebih 40,000 tenaga buruh di 138 ladang milik FELDA, 71 kilang minyak sawit, tujuh kilang penapisan, empat kilang penghancur isirung, sembilan kilang getah, kilang pembuatan dan beberapa logistik dan pukal pemasangan di seluruh Malaysia dan beberapa lokasi di luar negara.

Ia juga mempunyai 49 anak syarikat, syarikat bersekutu dan syarikat usaha sama yang beroperasi di Malaysia dan empat di luar negara. Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012, FHB mencatatkan keuntungan bersih RM484.2 juta.

Dua hari lalu, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad juga berkata peneroka tidak perlu bimbang terhadap penjualan saham KPF dalam FHB kerana hak mereka tidak diusik langsung.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 January 2014 12:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: