Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pemimpin bersatu dalam demo di Kedutaan AS

8 DIS: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengetuai ratusan peserta mengadakan tunjuk perasaan secara aman di pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kuala Lumpur.

Demonstrasi berkenaan yang turut disertai pelbagai badan bukan kerajaan tempatan diadakan selepas peserta menunaikan solat fardu Jumaat di Masjid Tabung Haji berdekatan dengan canseri diplomatik kuasa besar dunia itu.

Ia sebagai bantahan terhadap keputusan Presiden AS, Donald Trump di White House, Washington DC pada Rabu lalu bertegas mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu Israel selepas tertangguh lebih 20 tahun.

Langkah tersebut juga menyaksikan pejabat perwakilan AS turut dipindahkan dari Tel Aviv ke bandar purba itu yang terbahagi dua dengan bahagian barat dikuasai pendatang haram Yahudi manakal timur masih kekal milik Palestin.

Dalam demonstrasi yang sama Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO Malaysia, Mohamed Hazali Abu Hassan berkata Amerika Syarikat tidak seharusnya membuat keputusan ini secara unilateral tanpa mengambil kira pelan damai melalui meja rundingan multi-lateral oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami pasti bukan hanya negara-negara Islam yang tidak setuju diatas pendirian Amerika Syarikat ini tetapi reaksi yang sama akan diutarakan oleh lebih banyak lagi negara-negara dari seluruh dunia kerana ianya akan terus mengundang masalah kepada ketidakstabilan , keselamatan dan keamanan global.

“Adalah lebih wajar proses keamanan di antara Palestin dan Israel di buat melalui proses rundingan multilateral dengan mengambil kira sebanyak mungkin kepentingan dan hak-hak kedua negara dan bukannya dengan membuat keputusan secara unilateral oleh Amerika Syarikat,” ujarnya.

Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata Perkara ini bukan sahaja soal agama tetapi soal kemanusiaan yang tidak seharusnya diubah.

“Mana mungkin ibu negara sesebuah negara berdaulat seperti Palestin boleh diserahkan begitu sahaja kepada negara lain.

“Dalam soal Palestin ini, Kerajaan Malaysia khususnya YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat konsisten menentang segala bentuk penindasan, kekejaman dan kezaliman terhadap sesiapa sahaja dan ini telah dibuktikan beberapa tahun dahulu yang mana beliau merupakan antara pemimpin Islam di seluruh dunia menjejakkan kaki bersama isteri dan anak beliau ke wilayah bergolak Gaza tanda sokongan terbuka terhadap Palestin,” ujarnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 December 2017 5:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: