Kategori Berita Utama

Pemuda lega, bersyukur kerajaan batalkan kelonggaran syarat lulus BM

5 JULAI: Langkah kerajaan membatalkan syarat kelonggaran kelulusan Bahasa Melayu kepada graduan perubatan disambut dengan penuh kelegaan dan rasa bersyukur oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Exco Pemuda UMNO Malaysia Shahril Hamdan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu tindak balas pro aktif kepimpinan negara selepas menerima maklum balas ramai pihak mengenai yang bimbang kedudukan dan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tergugat.

“Alhamdulillah ternyata Kerajaan prihatin kepada suara rakyat dan khususnya suara Pemuda yang mula membangkitkan isu ini.

“Ini satu tindakan yang tepat diambil oleh kepimpinan kerajaan demi mempertahankan maruah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya ketika dihubungi oleh BNBBC.my portal, Rabu.

Menurutnya, keputusan sebulat suara kabinet itu memberi impak untuk jangka masa panjang terhadap kepentingan Bahasa Melayu dalam sektor awam.

“Ia menjadi contoh kepada generasi sekarang untuk memelihara dan memartabatkan Bahasa Melayu di tempat sewajarnya sebagai bahasa kebangsaan.

“Jadi orang muda dapat melihat Bahasa Melayu ini amat penting dalam sektor awam dan sekaligus mengelak ia tidak mudah diperlekehkan pihak tertentu tentang kedudukannya yang menjadi bahasa ibunda kita,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan tentunya telah mengkaji sedalam-dalamnya untuk membatalkan kelonggaran syarat tersebut, yang mungkin akan menjejaskan imej kakitangan awam di mata netizen.

“Selain untuk memastikan integriti komunikasi antara pesakit dan doktor, syarat ini perlu dihormati kepada mereka yang berhasrat menjadi kakitangan awam supaya tidak kekok dalam berinteraksi dengan segenap lapisan masyarakat ketika bertugas nanti,” ujarnya.

Katanya, syarat ini tidak keterlaluan dan ia adalah satu prosedur biasa sebelum diterima menjadi penjawat awam.

“Ia juga dapat memartabatkan  sistem pendidikan negara iaitu SPM.

“Jika doktor pelatih yang ambil O Level atau sebagainya, berilah mereka masa sedikit untuk menduduki ujian Bahasa Melayu SPM sebelum mula berkhidmat, maka saya tak menganggap ia adalah syarat yang keterlaluan.

“Kalau bukan kita yang mendaulatkan Bahasa Melayu, siapa lagi yang dapat diharapkan,” jelasnya lagi.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan hasil mesyuarat kabinet yang dipengerusikannya untuk membatalkan kelonggaran syarat kelulusan Bahasa Melayu kepada graduan perubatan gred 41.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 July 2017 11:46 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: