Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pemuda UMNO Kelantan desak Speaker, timbalan letak jawatan

23 NOV: Pemuda UMNO Kelantan hari ini mendesak Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meletak jawatan kerana mendakwa tindakan mereka mencemarkan dewan.

Ketuanya, Mohd Azam Ismail berkata tindakan Speaker, Datuk Abdullah Ya’kub menghalau ADUN Paloh, Datuk Norzula Mat Diah yang juga Ketua Pembangkang untuk membahaskan Bajet 2018 semalam sebagai perkara yang tidak patut berlaku di DUN Kelantan.

Pergerakan itu juga mengecam tindakan timbalan speaker, Abdul Latiff Abdul Rahman dianggap menghina Nozula selepas mendakwa wakil rakyat itu ‘berlakon air mata’ sedangkan seluruh rakyat tahu beliau masih dalam keadaan uzur akibat serangan angin ahmar.

“Tindakan itu adalah satu penghinaan kepada rakyat Kelantan yang telah memilih wakil mereka bagi menyuarakan masalah rakyat di dalam dewan.

“Tindakan Speaker juga menghina Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan yang mengiktiraf hak-hak ahli Yang Berhormat untuk bersuara,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Setiausaha DUN, Nik Khairul Anuar Nik Yusof di pintu masuk Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bahru hari ini.

Serahan memorandum itu disertai lebih 50 ahli Pemuda UMNO Kelantan pada jam 11.30 pagi tadi.

Mereka menganggap tindakan menghalau keluar itu sebagai tidak sopan apatah lagi khidmat Nozula sebagai seorang wakil rakyat dalam tempoh yang panjang.

Nozula pada semalam diarah keluar dewan oleh Speaker berikutan keengganannya duduk setelah diarahkan tidak mengganggu penggulungan oleh Exco Kerajaan Negeri.

Sidang DUN Kelantan yang bermula Isnin lepas berakhir semalam.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 November 2017 6:41 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: