Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pemuda UMNO Pahang tuntut The Star mohon maaf

28 MEI: Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star digesa memohon maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini ekoran menyiarkan tajuk berita utama berkenaan ‘pengganas’ disertai dengan gambar umat Islam sedang bersolat terawih di halaman muka depannya, semalam.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Shahar Abdullah berkata walaupun tajuk berita yang digunakan tiada kena mengena dengan gambar tersebut, ia masih boleh memberikan salah faham kepada orang ramai dengan kandungan yang disiarkan pada muka depan pada semalam.

“Ia seolah-olah merujuk pengganas kepada orang Islam dengan meletakkan kedua-dua berita dan gambar tersebut dalam satu muka surat besar di halaman depan.

“The Star sebagai salah satu akhbar ‘senior’ berbahasa Inggeris utama di Malaysia sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti di negara ini yang majoriti rakyatnya beragama Islam.

“Lebih-lebih lagi dengan banyak insiden keganasan yang terjadi di luar negara kini,” katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Tambah Shahar, semalam merupakan hari pertama umat islam di seluruh dunia menyambut kedatangan bulan mulia Ramadan.

“Sama ada penyiaran muka depan akhbar itu disengajakan atau tidak, saya menggesa pengarang akhbar itu untuk meminta maaf dengan seluruh umat Islam dan berjanji akan lebih sensitif dalam menyampaikan berita.

“Ini adalah demi mengelakkan tercetusnya ketegangan dalam komuniti berbilang kaum di negara ini lebih-lebih lagi memberi persepsi yang salah tentang agama Islam.

“Saya juga menggesa pihak berwajib yang bertanggungjawab untuk melakukan pemantauan dalam memastikan tiada berita yang boleh mencetuskan kemarahan mana-mana agama dan kaum disiarkan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 May 2017 6:19 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: