Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pemuda UMNO persoal rasional longgar syarat lulus BM

2 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memberi penjelasan rasional terhadap keputusan memberi kelonggaran kelulusan Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada graduan perubatan untuk lantikan Pegawai Perubatan UD41 secara kontrak.

EXCO Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, berkata kelonggaran syarat yang dipersetujui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu seolah-olah menghantar mesej bahawa Bahasa Melayu bukan menjadi keutamaan kepada graduan perubatan, malah dipandang enteng.

“Umum mengetahui, berlaku lambakan graduan perubatan sejak kebelakangan ini, dengan angka hampir 5,000 pelajar di dalam bidang terbabit tamat pengajian setiap tahun, namun hospital latihan hanya mampu menampung kira-kira 3,000 doktor pelatih.

“Keputusan melonggarkan syarat lulus BM ini hanya akan menambah dan memburukkan masalah lambakan graduan perubatan yang terpaksa menunggu dari tiga hingga enam bulan untuk mendapat penempatan di hospital latihan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau mengulas kebenaran JPA kepada graduan perubatan berkelayakan untuk diberi kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu peringkat SPM, untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41.

Beliau berkata, benar, Kementerian Kesihatan menyebut ia hanya untuk lantikan secara kontrak, tapi apa jaminan KKM tidak akan membawa kepada langkah pintu belakang bagi doktor pelatih hari ini diberi kelonggaran menjadi pegawai perubatan tanpa mendapat kelulusan Bahasa Melayu di bawah alasan lantikan kontrak.

“Bagaimanakah seorang doktor boleh memberi rawatan berkesan kepada pesakit sekiranya terdapat masalah komunikasi di mana pesakit tidak mempunyai penguasaan baik dalam bahasa selain Bahasa Melayu? Ada juga risiko berlaku kesilapan diagnosis dan rawatan sekiranya doktor tidak boleh memahami apa yang cuba disampaikan pesakit,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 2 July 2017 8:01 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: