Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pemuda UMNO serah memorandum bantahan ke Kedutaan Singapura

20 NOV: Pemuda UMNO tampil menyerahkan memorandum bantahan kepada Singapura susulan kenyataan dibuat Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong yang memperlekehkan permohonan Malaysia untuk semakan keputusan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang mewakili Pemuda UMNO menyerahkan memorandum berkenaan kepada Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Mark Neo di Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura, Jalan Tun Razak, di sini, kira-kira pada jam 4 petang.

Khairul Azwan berkata, Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab Hsien Loong yang boleh merosakkan hubungan baik di antara Malaysia dan Singapura.

“Dalam semangat setia kawan ASEAN, yang sedang membentuk satu komuniti ASEAN, pemimpin negara terbabit hendaklah menunjukkan rasa hormat kepada negara anggota yang lain.

“Jika timbul sebarang isu, ia seharusnya ditangani menerusi saluran diplomasi yang betul.”Kita tidak mahu ada perkara yang boleh menggugat hubungan baik di antara Malaysia dan Singapura ketika usaha sedang dilakukan untuk mengukuhkan hubungan di antara keduanya,” katanya kepada media petang tadi.

Semalam, Hsein Loong ketika berucap pada Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP), berkata dengan tuntutan semula Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh mungkin ada kaitan dengan pilihan raya umumnya.

“Saya tidak pasti apa motif Malaysia, tetapi Pilihan Raya Umum mereka akan datang, yang mungkin ada kaitan dengannya,” katanya.

Pada 30 Jun lalu, Malaysia mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya membuat interpretasi penghakiman kes membabitkan kedaulatan Pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Permohonan yang difailkan di ICJ, The Hague, Belanda, itu memohon mahkamah supaya membuat keputusan dan mengisytiharkan dua perkara.

Iaitu perairan di sekeliling Pulau Batu Putih adalah kekal dalam perairan yang dikuasai Malaysia.

Keduanya, Tubir Selatan berada dalam perairan yang dikuasai Malaysia sekali gus Malaysia mempunyai hak kedaulatan ke atas Tubir Selatan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 November 2017 7:45 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: