Kategori Berita Utama

Penamaan barisan calon BN PRU14 muktamad

27 APRIL: Penamaan barisan calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di seluruh negara kini sudah selesai dan muktamad, kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, kata beliau, sebarang desakan atau permintaan bagi pertukaran calon tidak akan dilayan.

Jelas beliau, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memuktamadkan sepenuhnya nama calon berkenaan dan watikah bagi semua calon juga telah ditandatangani dan diserahkan kepada bakal calon tersebut.

“Nama calon untuk kawasan Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) telah dimuktamadkan dan disahkan oleh Datuk Seri Najib sebagai Pengerusi BN, maka semua Pengerusi BN Negeri seluruh negara telah umumkan calon berkenaan.

“Walaupun ada desakan, kita tidak akan layan dan buat rombakan atau batalkan watikah yang diberi kerana senarai calon (DUN dan Parlimen) BN telah kita muktamadkan 100 peratus,” katanya dalam sidang media di Water Front Bagan Datuk, hari ini.

Turut hadir, calon BN bagi DUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, apa yang penting ketika ini semua calon yang terpilih perlu bekerja keras turun ke akar umbi bagi memastikan BN menang di kawasan yang akan mereka wakili.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan terdapat anggota BN yang akan bertanding atas tiket Bebas pada hari penamaan calon esok berikutan tidak puas hati kerana tidak dicalonkan, Ahmad Zahid berkata, individu itu secara automatik akan terkeluar daripada BN.

Beliau menjelaskan, sudah menjadi satu kelaziman dalam mana-mana parti politik akan berlaku ketidakpuasan hati dengan senarai calon, namun perkara itu sepatutnya dihadapi dengan hati terbuka dan berlapang dada.

“Kita (BN) memilih (calon) yang terbaik daripada mereka yang baik-baik. Jadi mereka yang mahu jadi calon bebas ini tidak kira dari parti komponen atau UMNO sendiri harus ketahui dalam perlembagaan dan peraturan parti menetapkan secara automatik akan terkeluar daripada hak keahlian apabila mereka bertindak menjadi calon bebas,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 April 2018 5:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: