Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pencapaian UMNO Sabah bukti kemampuan parti menyatukan rakyat

14 JUN: Pencapaian UMNO selama ini di Sabah membuktikan kemampuan parti itu dalam menyatukan rakyat sekali gus menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) dan kerajaan sebelum ini.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO dalam satu kenyataan memaklumkan, UMNO sebagai sebuah parti yang memang perjuangannya untuk Islam dan Melayu, tidak mengetepikan bangsa, agama dan budaya lain di Sabah.

Malah, jelas kenyataan itu, UMNO yang menjangkau usia 27 tahun di Sabah, menjadi faktor penyatuan kepada kepelbagaian agama, kaum dan budaya yang membolehkan negeri itu mencapai kestabilan politik dan pembangunan berterusan.

“Tempias Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memberi tamparan kuat kepada UMNO Sabah sehingga ada pihak tertentu cuba melaga-lagakan sentimen bahawa UMNO sudah tidak relevan lagi di negeri tersebut.

“UMNO bertegas dalam apa jua keadaan dan cabaran, di mana sahaja UMNO berada di seluruh pelosok negara ini, tetap akan memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat jelata. Kita sudah bermuhasabah, redha dan bertabah. Pucuk kepemimpinan tertinggi Pusat tidak akan meminggirkan mana-mana ahli UMNO bertebaran tanpa sebarang hala tuju.
 
“Yang pasti UMNO mula disusun barisan saf, kebersamaan dan keterbukaan dalam pemilihan barisan baharu UMNO kali ini tanpa mengenepikan Islam, Melayu, bumiputera dan kebangsaan,” jelas kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi sebuah institusi sosial Melayu Bumiputera tanpa mengetepikan bangsa atau agama lain.

Tambah kenyataan itu, meskipun dalam tempoh 72 tahun dan setiap pemimpin datang memperkenalkan perubahan, UMNO tetap menjadikan perjuangan menaikkan taraf hidup Bumiputera dan Islam sebagai prioriti utama.

“Bukan sahaja melalui pendekatan tetapi agenda tanpa mengetepikan falsafah dan konsep awal penubuhan UMNO berlandaskan penyatuan beberapa pertubuhan Melayu ketika itu.
 
“Justeru, UMNO harus terus relevan. Ia bergantung kepada agenda yang berakar umbi dan isu rakyat. Jangan dimomokkan UMNO itu Melayu, tetapi UMNO adalah perkongsian kuasa serta kebersamaaan nilai hidup dengan bumiputera di Sabah selain Sarawak.

“UMNO lebih daripada matlamat kebangsaan kerana kita bukan parti ‘asabiyah’. Ertinya memberi keutamaan kebangsaan dan negara majmuk dan kemajmukan ini diterima oleh UMNO. Ia resipi kejayaan UMNO. Kebersamaan menterjemah kemajmukan menjadi asas kepada UMNO,” jelas kenyataan itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 June 2018 8:44 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: