Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pendaftaran logo baru PH dengan RoS waktu terdekat

17 JULAI: PH dijangka akan menghantar senarai struktur kepimpinan bersama logo yang dimuktamadkan mereka kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat yang mungkin.

Salah seorang Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu berkata buat masa ini gabungan itu belum menentukan tarikh untuk mendaftar di RoS, namun memberi jaminan ia akan dilakukan ‘tidak lebih dari sebulan’.

Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, proses pendaftaran akan dilakukan selepas beberapa perkara dimuktamadkan dalam mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita tak tentukan tarikh lagi, tapi secepat mungkin. Kita mungkin ada mesyuarat pada minggu ini, kemudian kita akan hantar.

“Ada mesyuarat dalam masa terdekat, kemudian kita nak luluskan beberapa perkara, dan selepas itu boleh hantar,” katanya seperti dilaporkan kepada portal Antarapos.

Gabungan itu pada Khamis lalu memuktamadkan senarai struktur kepimpinan dan logo mereka untuk dihantar kepada RoS.

Ia bagi memudahkan keempat-empat parti dalam gabungan berkenaan bertanding menghadapi UMNO-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.

Parti-parti pembangkang yang bertanding sebelum ini menggunakan logo sendiri pada pilihan raya umum lalu.

Dalam pada itu ketika ditanya kesediaan parti-parti itu melepaskan logo masing-masing kelak, jawab Mat Sabu, ia sesuatu yang ‘terpaksa’ dilakukan demi satu matlamat yang besar.

“Terpaksa, kita kena sanggup melepaskanlah logo masing-masing. Amanah (PAN) parti baru, sementara PKR dan DAP parti lama, lagi berat,” katanya lagi.

Share This:




Berita Bertarikh pada 17 July 2017 8:03 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]