Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pendedahan wujud pakatan sulit Kit Siang-Tun M

30 DIS: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim hari ini mendedahkan wujud pakatan sulit antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang yang dipersetujui dalam perjanjian rahsia dimeterai 3 Disember lalu.

Tunku Abdul Aziz mendakwa perjanjian itu menetapkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Kit Siang masing-masing diangkat sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

tunkuabdulazizBeliau berkata, tindakan Kit Siang yang juga Penasihat DAP menamakan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sementara hanyalah satu cubaan ‘political red herring’ (politik mengalih tumpuan).

Ini kerana, katanya, Kit Siang percaya pengundi Melayu tidak akan mengundi pakatan pembangkang jika mengetahui pemimpin itu berhasrat menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Sebagai orang yang pernah berada dalam barisan kepemimpinan DAP sebelum ini, saya tahu mengenai perkara ini dan tahu perancangan Kit Siang sebenarnya.

“Saya mengetahui pakatan sulit antara Dr Mahathir dan Kit Siang ini daripada sumber boleh dipercayai dan saya jangka kedua-dua pemimpin itu tidak akan mengaku bertanggungjawab dalam perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Negara hari ini.

Tunku Abdul Aziz yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), berkata beliau yakin pakatan sulit ini tidak disedari pemimpin pembangkang yang lain termasuk Dr Wan Azizah, Muhyiddin dan pimpinan Parti Amanah Negara.

Katanya, beliau yakin pendedahan ini akan mewujudkan pergolakan dalam kalangan pimpinan pakatan pembangkang kerana mustahil perancangan itu dapat diterima secara konsensus dalam kalangan mereka.

Share This:




Berita Bertarikh pada 30 December 2016 1:40 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]