Kategori Berita Utama

Penderitaan etnik Rohingya di luar fikiran ahli parlimen

26 NOV :  Lawatan ahli-ahli parlimen ke kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh benar-benar membuka mata mereka apabila melihat sendiri kedhaifan mangsa pelarian yang hidup dalam keadaan sangat memilukan serta serba kekurangan.

Menurut Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi, beliau sendiri mengakui yang keadaan di kem tersebut adalah jauh lebih teruk berbanding apa yang beliau fikirkan sebelum menyertai rombongan ahli parlimen Malaysia ke kem tersebut.

Keadaan Kem Pelarian Balukhali,Cox Bazar Bangladesh

“Saya sempat bertanya kepada seorang daripada mereka, apa yang mereka mahu? Dia tidak ada benda lain selain mengharapkan agar mendapat jaminan jika mereka pulang ke tempat asal.

“Saya faham apa yang dia rasa, tinggal di tempat yang kecil, dengan anak yang ramai, sangat tidak selesa, keadaannya jauh lebih teruk dari apa yang saya fikirkan. Sampai satu tahap yang saya fikir kita harus berbuat suatu tindakan lebih drastik untuk membantu mereka,” katanya kepada BNBBC.my portal.

Raime Unggi memberi bantuan kepada etnik Rohingya di Kem Pelarian Balukhali,Cox Bazar Bangladesh.

Bagi Ahli parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap, kesukaran hidup pelarian terbabit perlu mendapat seberapa banyak perhatian NGO seluruh dunia.

Bagaimanapun, beliau kagum dengan usaha NGO beberapa negara yang sudah lama  di kawasan membantu pelarian di situ.

“Saya cukup kagum dengan solidariti yang ditunjukkan. “Laluan di kawasan itu berlecak dan berlumpur dengan sampah bertaburan. Kebersihan memang bukan keutamaan. Apatah lagi dalam keadaan mereka yang mencari sesuap makanan pun sukar.

“Namun saya cukup kagum dengan kerajaan dan rakan NGO negara kita yang bertungkus lumus membantu pelarian di sini. Hospital medan sudah pun dimulakan pembinaannya. Kemudahan air untum kegunaan harian juga telah disediakan.Bantuan berupa makanan dan selimut juga diberi sebagai persediaan untuk menghadapi musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi,” ujarnya.

Kanak-kanak yang merupakan Pelarian Rohingnya meluangkan masa di luar khemah untuk mendapatkan bekalan air di Kem Pelarian Rohingnya Kem Balukhali.

Bagi ahli parlimen PAS Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof pula beliau memperlihat kepentingan anak-anak dalam mendapatkan pendidikan adalah sangat penting supaya generasi akan datang dapat mengubah nasib dan hala tuju mereka.

“Bila kita lihat dengan mata kita sendiri kesusahan yang dihadapi umat Islam Rohingya, kita terasa memang jadi kewajipan umat Islam membantu mereka.

“Mereka tidak ada tempat tinggal yang sempurna, ramai keluarga mereka yang meninggal dibunuh hidup-hidup, jadi pada saya apa yang boleh mengubah kehidupan mereka adalah pendidikan.

“Pendidikan untuk anak-anak adalah penting bagi menetukan hala tuju mereka, kehidupan akan terjamin,  isu ini harus dipandang serius oleh semua pihak termasuk kita sendiri,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh, keadaan yang menekan dunia Islam hari ini daripada pihak tertentu adalah sangat mencabar.

Fuziah Salleh memberikan bantuan kepada etnik Rohingya di Kem Pelarian Balukhali,Cox Bazar Bangladesh.

Bagaimanapun adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia dalam membantu mereka selagi mampu sebagai kekuatan untuk mangsa pelarian tersebut meneruskan kehidupan.

“Saya lihat seolah-olah keadaan itu cukup mencabar untuk dunia muslim hari ini. Kalau kita tengok mereka hari demi hari datang memenuhi kem pelarian, Bangladesh hanya mampu beri 32 ribu ekar tanah untuk mereka duduki.dan NGO dari seluruh dunia membantu.

“Bantuan pun sekadar bantuan asas seperti tempat tinggal, makanan dan minuman.tetapi secara keseluruhan kita perlu perhalusi dalam jangka masa panjang, jika konflik ini berterusan kehidupan mereka akan seperti ini sampai bila-bila.

“Ini cabaran terbesar buat kita, kita harus beri tekanan kepada Myanmar untuk cari penyelesaian segera,” ujarnya lagi.

Semalam, 12 ahli parlimen BNBBC dan pembangkang mengadakan lawatan ke kem Balukhali serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga pelarian di situ.

Keadaan di Kem Pelarian Balukhali,Cox Bazar Bangladesh

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 November 2017 8:51 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: