Kategori Berita Utama

Pendirian Rafizi berpusing selepas bertuan pemimpin amal kronisme

24 JAN: Pendirian Naib Presiden PKR serta pengasas Invoke, Rafizi Ramli kini sudah ‘berpusing’ sejak mendapat pemimpin besar yang baharu tetapi dahulu terkenal dengan amalan kronisme dan nepotisme.

Ini kerana jika dahulu Rafizi mahukan kebenaran, ketelusan, benci kronisme serta menyokong kepentingan awam tetapi kini beliau berpusing menyokong kronisme serta kepentingan syarikat dan korporat yang diamal Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, beliau tidak terperanjat dengan perubahan pendirian Rafizi itu apabila memperlekeh ketelusan usaha agensi itu bagi mendapatkan semula pemilikan tanah FELDA di Jalan Semarak.

Apatah lagi katanya apabila Rafizi menuduh kejayaan FELDA mendapat semula hakmilik tanah itu tanpa sebarang kos adalah sebagai satu sandiwara atau lakonan sahaja.

“Kalau hari ini dilakukan carian terhadap tanah itu (di pejabat tanah), akan didapati tanah itu diletak kaveat dan tidak diletak mana-mana cagaran pihak bank.

“Nak bercakap gunalah fakta, jangan (tuduh) guna lakonan, sandiwara atau perlekeh kerana yang hendak diperlekeh (Rafizi) adalah ketelusan kami yang urus FELDA.

“Kami sedar, dalam keadaan kita telus dan ikut urus tadbir yang baik kita akan dapat atasi amalan kronisme,” kata Shahrir kepada BNBBC.my Portal, Rabu.

Katanya, dalam sidang media sebelum ini sudah ditunjuk bukti bahawa tanah itu tertera nama pemaju Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

“Adakah ini lakonan?.  Ini bukan kita ada-adakan. Kejayaan FELDA sehingga pemaju kembalikan tanah kerana kita tegas dan buat sesuatu yang telus beserta laporan polis dan kaveat.

“Tentu pemaju buat keputusan cepat (serah semula tanah) kerana tidak mahu kepentingan mereka sebagai pemaju terjejas,” jelasnya.

Mengenai dakwaan terbaru Rafizi semalam bahawa tanah FELDA bagi projek KLVC hilang buat selama-lamanya, Shahrir menegaskan, pemimpin PKR itu kena tahu membezakan antara unit yang dibina melalui pembangunan dengan tanah yang belum dibangunkan atau sedang dalam proses pembangunan.

Karanta, ia satu kenyataan sebenarnya kerana apabila tanah dibangunkan menjadi unit kediaman, unit pejabat dan kemudiannya dijual, tentu pembeli jadi pemilik pada unit berkenaan.

“Ini satu kenyataan yang semua orang akan setuju kerana ia proses biasa. Macam kenyataan peguam aktivis Azhar Harun yang tidak pro kerajaan dan FELDA, menyatakan biasanya tanah yang nak dibangunkan, tidak dimiliki oleh pemaju.

“Sebenarnya dalam keadaan biasa, pemilik tanah jadi pemilik tanah sambil pembangunan dilaksanakan oleh pemaju, ia menjadi luar biasa bila pemaju ambil alih tanah berkenaan,” kata Shahrir.

Dalam keadaan luar biasa ini jelas beliau lagi, tanah itu tidak dipindah milik kepada pemaju untuk dimajukan.

Ia selari keputusan Lembaga FELDA, mahu tanah yang dipindahmilik oleh pemaju dipulang semula kepada agensi itu  dengan pembangunan diteruskan dan pertukaran milik hanya setelah menjadi bangunan kediaman atau pejabat.

“Kita kena jaga kepentingan FELDA, bukan serah bulat-bulat atau percaya seratus peratus kepada pemaju, macam Rafizi hari ini lebih  condong sokong kepada syarikat atau korporat berbanding  sokongan tanah dimiliki FELDA,” jelasnya lagi.

Menurut Shahrir FELDA tidak tahu apa akan berlaku kepada syarikat pemaju kerana projek boleh tergendala, syarikat boleh cagar tanah pada institusi kewangan dan pemaju juga boleh jual kepada pihak lain.

“Maka, untuk jaga kepentingan FELDA, tanah yang hendak dimajukan oleh SPSB/KLVC, kepentingan FELDA hanya akan terjaga bila tanah itu kekal milik FELDA.

“Apabila pembangunan siap sepenuhnya, kepentingan FELDA akan bertukarlah dengan keuntungan melalui pembagunan tersebut.

“Ada yang kata ini sandiwara, Rafizi kata hanya lakonan dan tanah bukan milik FELDA lagi, sebenarnya semua sidang media mengenai isu tanah ini dibuat dengan tujuan ketelusan di dalam  pentadbiran dan tindakan kita.

“Saya sedar inilah yang dituntut oleh rakyat dan jadi laungan parti pembangkang yang minta ketelusan dan urus tadbir yang baik.  Ini kita nak terapkan di dalam FELDA sebab itu kita terangan perkara benar supaya rakyat tahu,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 January 2018 6:50 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: