Kategori Berita Utama

Peneroka FELDA berarak bantah penjajahan ekonomi EU

16 JAN: Dalam tempoh 10 hari, sebanyak 113,000 tandatangan peneroka FELDA di seluruh negara berjaya dikumpul untuk diserahkan kepada 17 kedutaan berkaitan sebagai bantahan terhadap sekatan minyak sawit oleh negara Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, bantahan tersebut adalah sebagai protes yang melibatkan mata pencarian para peneroka yang bergantung kepada hasil pasaran kelapa sawit.

Shahrir dalam masa yang sama menolak dakwaan pihak tertentu bahawa sepatutnya hanya kerajaan sahaja yang membuat bantahan tanpa mengheret para peneroka.

“Orang akan cakap hari ini kita nak pergi bantah dengan kesatuan eropah, ini kerja kerajaan, ini kerja duta, ini kerja MPOB, kerja pengurusan FELDA, kenapa nak libatkan peneroka?

“Kalau hanya kerajaan yang bantah, ini dikatakan politik, agensi sahaja yang bantah, apa pula suara sebenar dari pekebun kecil yang menanam sawit, mereka tahu bahawa harga sawit bergantung kepada pasaran dan sebenarnya kita tahu keluaran sawit paling efisen, lebih bermutu hasilnya dari minyak soya atau minyak sayuran yang lain,”  jelasnya lagi.

Shahrir mengulas demikian selepas bersama 1,700 peneroka berarak dari Menara FELDA menuju ke 17 kedutaan di sekitar Kuala Lumpur termasuk Kesatuan Eropah bagi menghantar petisyen bantahan sekatan sawit.

Tambah beliau lagi, sekatan yang dibuat oleh pihak luar terhadap sawit kerana mereka tahu keupayaan pokok sawit boleh bertahan selama 25 tahun dan 50 peratus tanah di Malaysia masih lagi berstatus hutan.

Berikutan itu mereka telah menggunakan alasan jerebu yang sememangnya tidak boleh digunapakai kerana jerebu berlaku pada 2015.

“Pokok sawit 25 tahun boleh bertahan, mereka tahu sebenarnya hutan di Malaysia 50 peratus lebih masih di bawah hutan berbanding dengan negara maju atau berbanding dengan 30 peratus pada 1 dunia. Mereka tahu tapi mereka gunakan asas nak sabotaj, rosakkan, menyekat, keluaran kita masuk pada pasaran mereka, sebab itu ia akan menentukan harga sawit.

“Kalau harga sawit turun yang terkena adalah mereka yang bergantung kepad harga sawit, bila mereka gunakan taktik sekat kemasukan minyak sawit, kononnya kita nyah hutan di Malaysia, kita berhadapan dengan jerebu kerana kebakaran, jerebu tahun 2015, 2016 2017 tak berlaku mereka gunakan alasan ini.

“Pada saya kita bersama membantah tindakan dan rancangan kesatuan eropah menyekat kemasukan kelapa sawit,” tegas Shahrir.

Dalam hal ini kata Shahrir lagi, bantahan perlu dibuat kerana jika dahulu ia melibatkan penjajahan politik, namun sekatan minyak sawit ke luar negara hari ini adalah suatu penjajahan yang dinamakan penjajahan ekonomi.

“Tak payah nak saya minum kopi dengan duta besar, nak buat apa? Nak bincang, esok bincang, nak jumpa esok jumpa, hari ni kita tunjuk perasaan tipu muslihat yang mereka lakukan terhadap sawit. Hari ini kita tunjukkan kita bersatu hati bantah tindakan mereka hipokrasi mereka.

“Bantah kepada penjajah, penjajahan ekonomi, kita tahu apa yang kita nak, kita tahu siapa kita sebagai rakyat Malaysia yang tatatertib yang ada peraturan tapi adanya maruah untuk pertahankan hak kepada kita,” ujarnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 January 2018 2:51 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: