Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Peneroka FELDA terus dibela kerajaan – Najib

17 JUN: Kebajikan peneroka FELDA di seluruh negara akan terus dibela kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelbagai usaha dilakukan termasuk menambah nilai pembangunan sedia ada di tanah rancangan seperti perumahan generasi kedua dan ketiga.

“Kerajaan sentiasa mengkaji dan meneliti bagaimana untuk mengukuhkan kedudukan FELDA dan pastikan kebajikan peneroka mendapat perhatian penuh.

“Kita sudah dapat melihat proses transformasi yang ketara apa sejak agensi penanaman berkelompok itu dibuka pada tahun 1960-an sehingga sekarang. Jadinya matlamat dan objektif untuk membebaskan masyarakat terdahulu daripada kemiskinan sudah tercapai,” katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian pada majlis Rahmat Ramadan dan Berbuka Puasa serta Penyampaian Sumbangan kepada warga emas dan ibu tunggal di Masjid FELDA Chini 1, Pahang, Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun, Pengarah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Pahang, Datuk Mohd Aruwan Ab Aziz dan Pengurus Besar Kanan, Hal Ehwal Korporat, TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin.

Sementara itu, Najib turut merasmikan projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8) membabitkan 7,770 unit lampu jalan di seluruh Pahang dengan kos RM6.62 juta.

Perdana Menteri kemudiannya bersolat Isyak dan tarawih bersama penduduk di Masjid Kampung Serambi sebelum menamatkan lawatan kerja sehari ke Pekan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 June 2017 8:54 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: