Kategori Analisa Isu Semasa

PENGAJARAN 14/11: PUTAR BELIT PEMBANGKANG

Akibat mulut celupar menyifatkan Parlimen negara sama macam Parlimen Robert Mugabee (Presiden Zimbabwe) yang disiarkan media, Ahli Parlimen PKR Padang Serai, N. Surendran digantung tugas selama enam bulan berkuatkuasa Khamis lepas.

Keputusan dibuat selepas usul menggantung beliau kerana menghina Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat dan institusi Parlimen yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri disokong dengan mendapat 92 undi daripada ahli parlimen Barisan Nasional manakala ahli parlimen pembangkang tidak mengundi.

Namun keputusan itu hanya diperolehi selepas mesyuarat sesi pagi Dewan Rakyat pada Khamis lalu menjadi riuh rendah bagai sarkas hampir satu setengah jam akibat sikap pembangkang yang berdolak-dalik tidak mahu usul berkenaan dibahas dan diputuskan.

Akhirnya, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee yang mempengerusikan mesyuarat memutuskan terus membuat proses undian belah bagi setelah pembangkang dilihat tidak berminat menggunakan peluang berhujah bagi membela “ayam tambatan” mereka.

Memutar belit tuduhan ke atas Surendran

Anwar, Gobind dan Surendran bergegas keluar ke lobi Dewan Rakyat menemui media sebaik usul penggantungan diluluskan dan mendakwa itu adalah strategi menghalang Naib Presiden PKR itu membawa isu kaum India ke Parlimen

Bagaimanapun, sejurus keputusan dibuat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen PKR Puchong Gobind Singh Deo dan Surendran  terus keluar ke lobi dewan menemui pemberita.

Anwar mendakwa Surendran digantung daripada hadir mesyuarat Dewan Rakyat kerana memperjuangkan nasib masyarakat India.

“Apa salah dia (Surendran) sekarang? Salah dia ialah kerana mengemukakan masalah perobohan kuil dengan cara-cara yang tidak mengikut peraturan dan tidak menghormati hak masyarakat India,” kata Anwar.

Gobind pula ketika ditanya BNBBC.my kenapa pembangkang tidak menggunakan peluang membahaskan usul bagi berhujah menyelamatkan Surendran memberi alasan perkara itu sepatutnya dilakukan dalam peringkat siasatan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Kalau kita lihat dan baca dalam usul tersebut kita dapat lihat dengan jelas bahawa keputusan kebersalahan beliau telahpun dibuat, hanya dibawa ke Parlimen untuk mengesahkan hukuman enam bulan penggantungan itu” katanya.

“Sebelum saya masuk dewan pagi tadi, keputusan telah dibuat iaitu untuk menyingkirkan saya selama enam bulan dan ini adalah apa yang dikatakan sebagai “tirany of majority” (kekejaman golongan majoriti)” tambah Surendran.

Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad.

“Tidak benar. Itu bukan sebabnya tetapi kerana dia tidak mengikut peraturan mesyuarat dan dia sengaja melanggar. Memanglah ini nak diputar belitkan, memang dia pakar putar belit kononnya Padang Serai nak bawak isu kaum India, tetapi sebenarnya isu itu telahpun dibahaskan semasa perbahasan peringkat dasar bajet Kementerian Wilayah Persekutuan,” jelas Shahrir.

PENGERUSI BNBBC...Tan Sri Shahrir Samad sifatkan kekecohan di Dewan Rakyat pada Khamis bukti pembangkang suka putar belit dan tiada integriti

PENGERUSI BNBBC…Tan Sri Shahrir Samad sifatkan kekecohan di Dewan Rakyat pada Khamis bukti pembangkang suka putar belit dan tiada integriti

“Yang menjadi masalah ialah apabila Padang Serai dihantar keluar dewan, dia mengatakan macam2 terhadap Parlimen. Dia mendakwa tidak ada Parlimen Negara Komanwel macam ini (Parlimen Malaysia). (Parlimen) ini teruk sangat seolah-olah (Robert) Mugabe (Presiden Zimbabwe) punya Parlimen sedangkan negara kita dan Zimbabwe mempunyai hubungan diplomatik. Jadi kenapa pula kita perlu mencerca dan mencaci pemimpin negara sahabat,” soal Shahrir.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar pula berkata insiden Khamis 14/11 adalah satu lagi  bukti pembangkang tiada integriti dan kredibiliti kerana sering memutar belit fakta.

“Tak ada kena mengena dengan isu kuil. Isunya ialah dia menghina Speaker dan dia

menyebut (Parlimen Malaysia) seperti Zimbabwe. Jadi apa maknanya? Kerajaan terpaksa memaklumkan (kepada kerajaan Zimbabwe) itu pandangan pembangkang. Kita dengan Zimbabwe negara Komanwel dan negara itu ada hubungan diplomatik dengan kita. (Surendran) seolah mahu merendahkan negara rakan kita dan itu tidak boleh dilakukan. Kita perlu menghormati hubungan diplomatik,” kata Noh.

“Saya tidak fikir isu itu timbul kerana ang diambil tindakan ini ialah kerana kesalahan menghina institusi Parlimen dan kedudukan Speaker Dewan Rakyat. Itu tidak boleh dilakukan dan kalau ia dibiarkan ia menjatuhkan kedudukan Parlimen itu sendiri,” sokong Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menafikan tohmahan Surendran dihukum bagi menghalang beliau membawakan isu masyarakat India ke Dewan Rakyat.

NOH OMAR...pembangkang boleh membela Surendran jika berhujah menentang usul yang dibentang kerajaan.

NOH OMAR…pembangkang boleh membela Surendran jika berhujah menentang usul yang dibentang kerajaan

Menurut Noh lagi, sebagai peguam, Surendran tahu perbuatan mengeluarkan kenyataan menghina Speaker di luar Dewan Rakyat adalah sama seperti mengeluarkan kenyataan tidak berpuas hati terhadap keputusan hakim atau mahkamah yang boleh dikenakan tuduhan menghina mahkamah.

Namun sebenarnya Naib Presiden PKR itu masih berpeluang membela diri jika usul agar beliau digantung dibahaskan.

“Beliau boleh membawa di dalam perbahasannya jika mahu kes beliau dibawa ke peringkat Jawatankuasa (Hak dan Kebebasan). Beliau boleh membuat cadangan di dalam hujahnya dan kita boleh mendengarnya, menerimanya serta membalas hujah-hujahnya,” ulas Noh.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Libaran, Sabah, Datuk Juslie Ajirol berpendapat itu bukan keutamaan pembangkang.

“Usul itu jelas menepati seperti apa yang dikatakan oleh Speaker sepatutnya kita bahas dengan baik tetapi nampaknya pihak pembangkang tidak berminat. Maka apa yang berlaku ialah gelagat yang sepatutnya tidak berlaku di mana budak-budak tadika di sekolahpun tidak membuat perangai seperti mengoyak kertas dan sebagainya,” ulas Juslie.

Bagi Datuk Seri Shahidan Kassim, menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Parlimen, beliau merasa sedih kerana senario mesyuarat Dewan Rakyat yang berlaku pada 14/11 adalah antara yang paling hodoh dan memalukan dalam sejarah.

“Semua orang (ahli parlimen) telah membuat perkara-perkara yang tidak elok dalam Parlimen seperti mengoyak kertas. Sebahagian mereka yang mengoyak kertas itu akan kelak menjadi pemimpin pembangkang. Malah Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turut bangun…saya berharap beliau menjaga integriti dan adab sopan tetapi beliau turut  bangun walaupun beliau tidak menjerit seperti orang lain. Saya rasa jika peristiwa itu ditonton oleh pelajar-pelajar sekolah, maka mereka juga akan turut sama menjadi samseng sebagaimana perangai yang ditunjukkan oleh mereka yang kononnya pemimpin-pemimpin negara,” kata Shahidan.-15/11/2013

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 November 2013 4:43 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: