Kategori Berita Utama

Pengalaman pemimpin bukan jaminan PPBM lebih stabil dalam politik

30 MEI: PPBM yang diwarisi barisan kepimpinan handal dalam politik bukan jaminan kepada kestabilan bagi parti yang baru ‘setahun jagung’ itu.

Berikutan itu menurut Bekas ahli PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman, kepimpinan yang ada itu disaran untuk tidak terlalu selesa meskipun mendakwa tidak terkesan dengan tindakan sebilangan ahlinya yang keluar parti dan meletakkan jawatan.

“Saya difahamkan ada beberapa pemimpin yang pergi ketika mereka berceramah di merata tempat, mereka mengatakan bahawa keputusan yang saya buat untuk keluar daripada parti ini tidak akan menjejaskan PPBM, sebab yang keluar itu saya seorang.

“Saya nak ingatkan kepada pemimpin-pemimpin PPBM, janganlah terlalu berbesar hati mengatakan mereka telah lama berpolitik dan mereka tidak hairan langsung ataupun tidak terjejas langsung dengan keputusan-keputusan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin untuk keluar parti,” katanya dipetik media.

Kamarulazman yang keluar parti pada April lalu menyelar sikap pemimpin PPBM yang bekerja untuk jawatan serta kedudukan, malah melayan kumpulan yang bekerja keras demi parti dengan ‘layanan kelas kedua’.

Susulan daripada itu, beliau secara jelas menyatakan kekecewaannya dengan amalan kronisme dan pilih kasih di dalam parti diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Beliau juga mengumumkan peletakan kesemua jawatannya di dalam parti, termasuk sebagai ahli majlis pemimpin tertinggi PPBM dan Setiausaha Kerja PPBM pusat.

Selepas dari itu kira-kira 1,000 ahli termasuk pemimpin PPBM di Perak bertindak melakukan perkara yang sama apabila dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut perkembangan terbaru itu, Kamarulazman sekali lagi mengingatkan pemimpin PPBM agar tidak memandang rendah dengan ‘kemampuan’ bekas ahli mereka.

“Kalau pemimpin-pemimpin ini beranggapan bahawa pemimpin marhain macam saya tidak mempunyai sokongan dan sebagainya, mereka silap, sebab pemimpin macam kami, masuk dalam parti ini tanpa ada kepentingan atau matlamat peribadi.

“Jika sebenarnya pemimpin-pemimpin yang keluar ini bergabung, dan seterusnya mendedahkan kelemahan-kelemahan dalam PPBM, maka kesannya akan jadi amat buruk sekali,” ujarnya.

Sebelum ini, Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman mengakui wujud kemelut dalam parti yang menjadi punca sebilangan ahli keluar parti dan meletak jawatan.

Lebih memburukkan keadaan, Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kemudiannya menggesa Hamidah untuk meletakkan jawatan kerana mendakwa pemimpin wanita itu bertanggungjawab dalam isu perpecahan di Perak.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 May 2017 5:08 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: