Kategori Berita Utama

Penganjur demonstrasi 31 Disember ditahan

24 DIS : Beberapa hari selepas amaran, polis malam Selasa menahan Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Azan Safar bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan dibaca bersama seksyen 124c Kanun Keseksaan.

Beliau ditahan sekitar jam 11.00 malam di sebuah restoran di Kampung Baru ketika bersama kawan-kawannya.

Polis akan mendapatkan perintah reman daripada Majistret di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 10.00 pagi ini berhubung satu rancangan perhimpunan pada malam ambang tahun baru 2014 yang dikatakan berniat menggulingkan kerajaan.

demo31

Demonstrasi hanya beri imej buruk negara

TURUN dilancarkan di hadapan Kompleks Membeli-belah Sogo baru-baru ini untuk mengadakan himpunan besar pada 31 Disember ini bagi meneruskan momentum membantah kenaikan kos sara hidup pada tahun depan.

Terdahulu, beberapa laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak antaranya Pemuda UMNO Sepang meminta pasukan keselamatan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang berkenaan.

Ketuanya Noorazli Said berkata tindakan pihak berkenaan jelas cuba mencetuskan rusuhan seperti yang berlaku di Mesir.

“Kita ada pilihan raya umum setiap lima tahun sekali, jadi penganjur sepatutnya guna jalan yang betul, bukan heret rakyat turun di jalanan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menggesa orang ramai tidak menyertai perhimpunan yang dikenali sebagai, ‘Himpunan Guling Kerajaan’ yang diklasifikasikan sebagai haram.

Beliau berkata mereka yang terlibat dengan perhimpunan tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan bagi aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012 (Sosma). -bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 December 2013 12:28 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: