Kategori Berita Utama

Pengawal keselamatan punya rekod jenayah kebas RM250,000

17 DIS: Belumpun selesai perbicaraan kes pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai wanita AmBank Subang Jaya Oktober lalu, tetapi nampaknya masih ada syarikat kawalan keselamatan mengambil pekerja secara membuta tuli tanpa tapisan teliti.

Pada jam 9 pagi Isnin, seorang pemandu van syarikat kawalan keselamatan yang baru kira-kira tiga bulan bekerja bertindak nekad melarikan van yang dipandunya sebelum ghaib bersama wang tunai berjumlah kira-kira RM250,000.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, siasatan awal polis mendapati suspek yang dikenali sebagai Mohd Fahamy Mohammad Ramly, 30, dengan alamat terakhir di Medan Gopeng, Ipoh, Perak mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 39 (a)(1) Akta Dadah Berbahaya.

Yahaya memberitahu, sebelum kejadian, suspek dan dua lagi pengawal keselamatan ditugaskan untuk mengutip wang dari beberapa buah premis perniagaan di sekitar Shah Alam, serta dua stesen minyak di Lebuhraya Kesas.

“Selesai kutipan dibuat, pasukan ini terus menuju ke sebuah bank di Wisma Consplan Subang Jaya untuk mendepositkan wang.

“Dua orang pengawal keselamatan masuk ke dalam bank berkenaan untuk melakukan urusan manakala rakannya iaitu pemandu van (suspek) menunggu di luar,” kata Yahaya kepada agensi berita Bernama.

Ketika dua pengawal keselamatan terbabit keluar semula untuk mengambil wang di dalam van, suspek bersama kenderaan berkenaan didapati hilang.

“Mereka cuba menghubungi suspek, namun gagal menyebabkan kedua-duanya bertindak membuat laporan polis,” katanya sambil menjelaskan syarikat kawalan keselamatan yang mengambil suspek bekerja ditubuhkan pada tahun 2005 dan menawarkan khidmat penghantaran wang kutipan jualan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank pelanggan.

Kira-kira lima jam selepas laporan diterima, van keselamatan yang dilarikan itu ditemui polis di kawasan perumahan Jalan SS 15/5B,Subang Jaya petang semalam.

Bagaimanapun wang tunai di dalamnya sudah lesap dipercayai dikebas suspek.

Yahaya berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Polis kini melancarkan gerakan memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat.-bnbbc.my

JUMPA...hanya van keselamatan kosong ditemui polis di Subang Jaya lima jam selepas ia dilarikan manakala wang tunai RM250,000 sudah dikebas pemandunya.-Foto Sinar Harian

JUMPA…hanya van keselamatan kosong ditemui polis di Subang Jaya lima jam selepas ia dilarikan manakala wang tunai RM250,000 sudah dikebas pemandunya.-Foto Sinar Harian

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 December 2013 12:00 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: