Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Penguatkuasa jalanraya terima sogokan, diperhati SPRM

20 Mac: Pegawai-pegawai penguatkuasa agensi mencegah kesalahan di jalanraya disyaki mengambil wang sogokan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pemandu lori yang melanggar undang-undang, kini dalam senarai pemerhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, selama ini, beberapa pegawai dipercayai bekerjasama dengan pengusaha lori bagi membolehkan pemandu yang melanggar undang-undang terus bebas bermaharajalela di lebuh raya dan jalan utama.

Lori yang terlebih muatan ditahan oleh penguatkuasa (foto hiasan)

“Ini menyebabkan berlakunya beberapa kemalangan dan beberapa kes kematian. Mereka juga menimbulkan ancaman kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kami sudah menerima maklumat bahawa beberapa anggota penguatkuasa meminta dan mengambil antara RM200 dan RM300 sebulan daripada pengusaha lori supaya tindakan saman tidak dikeluarkan jika melanggar undang-undang dibawah Akta Pengangkutan Jalan,” kata sumber itu.

Tambah sumber itu antara kesalahan yang biasa dilakukan pemandu lori adalah memandu tanpa perlindungan insurans, cukai jalan tidak sah serta  melebihi had muatan.

Sumber itu juga mendedahkan bahawa operasi terkini SPRM di seluruh negara bakal menyasarkan pegawai penguatkuasa daripada pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan agensi lain.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki ketika dihubungi oleh sebuah portal berita pada Isnin mengesahkan bahawa agensi itu sedang meneliti perkara itu.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai tindakan tidak bermoral itu perlu tampil ke hadapan untuk membantu SPRM.

“Saya juga menyeru kepada pegawai penguatkuasa yang ditawarkan wang oleh pengusaha lori tidak bertanggungjawab supaya membuat laporan kepada kami supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

 

Share This:




Berita Bertarikh pada 20 March 2017 5:34 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]