Kategori Berita Utama

Pengundi Cina mahu wakil rakyat turun padang bukan propa

11 FEB: Pengundi Cina di negara ini semakin bijak dalam membuat penilaian mana yang terbaik dalam mengurus dan membangunkan negara dan bukannya hanya sekadar janji kosong tanpa sebarang tindakan.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari ia dapat dilihat apabila setiap kali beliau turun berjumpa dengan akar umbi terutamanya kaum Cina mereka sering memuji langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mencorakkan ekonomi negara supaya berada dalam kedudukan yang terbaik.

Malah mereka juga katanya amat berterima kasih dengan segala bantuan yang disalurkan BN tidak mengira bangsa, pangkat atau kedudukan mereka jika dibandingkan dengan sesetengah wakil pembangkang yang hanya tunjuk muka apabila memerlukan sokongan untuk memenangkan parti yang mereka naungi.

Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan isteri beramah mesra dengan masyarakat Tiong Hua sempena sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Setiawangsa

“Sentimen Cina ini saya lihat meskipun banyak yang kata mereka menolak namun selepas kita memberi khidmat kepada mereka ternyata mereka ini rasional dalam menilai mana yang baik mana yang buruk terhadap wakil rakyat itu

“Walaupun dia menilai apa juga yang berlaku dalam Negara ini tapi saya tengok akhirnya dia mahu satu wakil rakyat yang ada sentiasa bukannya bila tiba pilihan raya baru muncul.

“Dari hati ke hati saya dimaklumkan sendiri ada daripada mereka tidak mengundi kita pada pilihan raya dulu tetapi memilih untuk mengundi BN dalam PRU14 ini.

“Ini membuktikan bukan saja faktor sesebuah parti itu mempengaruhi undi tetapi faktor wakil rakyat itu sendiri yang telah berbakti kepada mereka sepanjang lima tahun yang lalu juga memainkan peranan besar dalam PRU kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Ang pow sempena Tahun Baru Cina kepada 500 penduduk kaum Cina terpilih di bawah Parlimen Setiawangsa, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan isteri bersama dengan masyarakat Tiong Hua selepas selesai Majlis Sumbangan Ang Pow sempena sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Setiawangsa

Tambah Ahmad Fauzi, tidak kira kaum Cina, India atau Melayu mereka lebih senang jika wakil rakyat yang mereka pilih sentiasa turun padang dan melihat sendiri segala permasalahan yang mereka hadapi berbanding hanya berjumpa di pejabat wakil rakyat.

“Pendekatan yang saya guna pakai adalah mereka bebas untuk berjumpa dengan saya tidak kira masa dan tempat, tiada sekatan untuk mereka menceritakan permasalahan mereka setiap kali saya turun berjumpa dengan masyarakat setempat,” katanya lagi.

Dalam pada itu Ahmad Fauzi turut menemplak sikap tidak profesional pembangkang yang suka menabur fitnah tidak masuk akal semata-mata mahu memecahkan keharmonian hanya kerana Malaysia menerima beberapa pelaburan daripada Negara China.

“Kaum Cina adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia jadi tidak semestinya ada pelaburan daripada Negara China akan menyebabkan Negara ini tergadai.

“Sedangkan Negara Jepun telah membuat pelaburan di Malaysia sejak tahun 60an lagi secara besar-besaran tapi tak pernah pun masa itu kita fikir Jepun hendak mengambil alih Malaysia sedangkan Jepun telah menjajah kita tapi China tak pernah menjajah kita begitu lama berbanding dengan Jepun.

“China ketika ini merupakan ekonomi kedua terbesar dalam dunia malah mereka sendiri datang dan berminat untuk melabur di Negara kita kerana persahabatan yang telah terjalin sejak zaman Tun Razak dimana waktu itu Negara-negara lain telah mengenepikan China dan kita telah mengambil risiko itu langkah berani dan sekarang kita menerima nikmat.

“Tohmahan pembangkang ketika ini hanya untuk menakut orang Melayu. Bagi saya hentikanlah, Tun M henti-hentikanlah buat kerja yang mampu mengugat keharmonian antara kaum ini kerana ia dilakukan bukan semata-mata untuk pilihan raya yang semakin hampir tapi lihat implikasinya bukan sebelum atau semasa pilihanraya tetapi selepas pilihanraya dan masa akan dating. Jadi berhati-hatilah,” tegasnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 February 2018 2:05 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: