Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pengurusan kes Najib saman Rafizi 25 Ogos

21 JUN: Pengurusan kes saman fitnah difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Datin Seri Rosmah Mansor terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan pemilik sebuah portal berita berhubung isu subsidi minyak ditetapkan pada 25 Ogos depan.

Pada hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rohani Ismail menetapkan tarikh berkenaan di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Nor Emelia Iszeham yang mewakili Najib dan Rosmah.

Turut hadir peguam Ng Siau Sun yang mewakili Rafizi dan peguam Joanne Leong mewakili pemilik portal ‘Media Rakyat’ Chan Chee Kong, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman berkenaan.

Joanne memberitahu pemgamal media di perkarangan mahkamah bahawa penetapan tarikh itu bagi memaklumkan perkembangan rayuan oleh Rafizi dan Chan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembelaan mereka bagi komen adil dalam saman fitnah berkenaan.

Semalam, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kedua-dua defendan untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu. Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan berkenaan.

Pada 29 Nov 2016, Najib dan isterinya berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pembelaan defendan bahawa ia merupakan komen yang adil.

Najib dan Rosmah memfailkan saman menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan pada 16 April 2015 yang mendakwa Ahli Parlimen Pandan itu memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 22 Nov 2014.

Mereka juga mendakwa Chee Kong berkongsi rakaman itu di dalam akaun Facebook Media Rakyat yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna Internet seluruh dunia serta gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 June 2017 5:03 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: