Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Penumpang pasport curi bukan orang Asia

10 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti dua penumpang yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH370 menggunakan pasport curi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis mengenal pasti salah seorang daripada dua penumpang terbabit.

“Saya boleh mengesahkan dia bukan rakyat Malaysia dan bukan dari Xinjian, China,” kata Khalid.

IGP MAS MH370Kedua-dua penumpang berkenaan bagaimanapun tidak disenaraikan dalam laman web pasukan Polis Antarabangsa (Innterpol) sebagai penjenayah dikehendaki.

Bagaimanapun, pasukan penyiasat masih enggan mendedahkan identiti penumpang berkenaan dan kewarganegaraan mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, berkata pasukan penyiasat kini melihat kepada kemungkinan suspek berkenaan terbabit dengan sindiket pasport curi.

Azharuddin berkata, selepas melihat rakaman video yang diambil daripada CCTV di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kedua-dua suspek itu tidak kelihatan seperti lelaki Asia.

“Penyiasat sudah melihat rakaman itu dan mengenal pasti kedua-dua suspek itu tidak mempunyai ciri-ciri lelaki Asia,” katanya.

Bagaimanapun, Azharuddin enggan mengulas lanjut bagaimana rupa sebenar suspek berkenaan.

Azharuddin juga berkata, selepas melihat rakaman daripada prosedur keselamatan di KLIA, beliau berpuas hati semua protokol keselamatan dipatuhi.

Beliau sebelum ini beberapa kali ditanya mengenai sama ada berlaku pelanggaran keselamatan atau kesilapan di KLIA.

Dua penumpang terbabit menarik perhatian selepas seorang warga Itali dan seorang lagi dari Austria didapati masih hidup walaupun berada dalam senarai nama penumpang.

Luigi Maraldi dan Christian Kozel tampil memberi penjelasan bahawa mereka tidak menaiki pesawat MH370 susulan kejadian pada Sabtu lalu.

Kedua-dua lelaki itu terdahulu pergi ke Thailand dan pernah membuat laporan polis kerana kehilangan pasport.

Pesawat MAS jenis Boeing 777-200 itu berlepas dari KLIA ke Beijing pada jam 12.41 pagi Sabtu, sebelum terputus hubungan dan hilang dari isyarat radar pada jam 1.20 pagi ketika ia terbang melepasi ruang udara Ho Chi Minh, Vietnam.

Pesawat itu membawa 12 anak kapal rakyat Malaysia dan 227 penumpang, termasuk 154 warganegara China dan Taiwan.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 March 2014 10:58 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: