Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Penurunan pelancong AS tidak memberi kesan

28 MEI: Kemerosotan ketibaan pelancong Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia pada suku pertama tahun ini tidak menjejaskan industri pelancongan negara secara keseluruhannya.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ianya disebabkan industri pelancongan negara adalah luas dan mempunyai pelbagai segmen yang dapat menampung pengurangan kedatangan pelancong negara itu ke Malaysia iaitu peningkatan pelancong dari China dan Timur Tengah.

Foto hiasan pelancong asing di Malaysia.

“Penurunan itu tidak menjejaskan industri pelancongan negara kerana kita tidak hanya bergantung atau berharap pada kedatangan pelancong Amerika Syarikat semata-mata.

“Kita yakin pelancong Amerika Syarikat akan kembali meningkat pada suku kedua tahun ini,” katanya selepas majlis penyampaian ‘Shopping Raya Anak Yatim’ Parlimen Tangga Batu di Melaka, Ahad.

Terdahulu beliau menyampaikan kelengkapan menyambut Hari Raya termasuk pakaian baharu kepada 220 anak-anak yatim di Parlimen Masjid Tanah berjumlah RM43,600.

Semalam BERNAMA melaporkan jumlah ketibaan pelancong dari Amerika Syarikat bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini turun 12.9 peratus kepada 52,237 orang berbanding bagi tempoh sama tahun lepas.

Menurut Mas Ermieyati, kerjasama yang sedang diusahakan dengan KLM Royal Dutch Airlines bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong Amerika Syarikat ke Malaysia dijangka meningkatkan kembali jumlah kedatangan pelancong dari negara berkenaan.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata pada Mei lepas, Malaysia telah diiktiraf sebagai destinasi mesra Muslim nombor satu selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2011 menerusi laporan Global Muslim Travel Index (GMTI).

Katanya pencapaian itu merupakan satu penghargaan kepada negara bagi industri pelancongan Islam dan ia bukan mudah untuk dikekalkan dalam tempoh tersebut.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 May 2017 11:13 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: