Kategori Berita Antarabangsa

Penyiasat PBB tuntut akses penuh di Myanmar

19 SEPT: Penyiasat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata pasukan mereka memerlukan akses ‘penuh dan tidak terbatas’ di Myanmar untuk menyiasat krisis penindasan ke atas etnik Rohingya, namun kerajaan negara itu menentang siasatan.

Ketua misi penyiasatan, Marzuki Darusman memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia pada hari ini bahawa adalah penting bagi pihaknya melihat sendiri tapak di mana dakwaan berlakunya pelanggaran sekali gus memohon akses penuh.

“Ada krisis kemanusiaan dahsyat sedang berlaku yang memerlukan perhatian segera,” lapor AFP.

Majlis berkenaan menubuhkan misi pencari fakta sejak Mac lalu untuk menyiasat di seluruh Myanmar dengan tumpuan khusus terhadap dakwaan jenayah ke atas Muslim Rohingya di Rakhine.

Sehingga kini lebih 400,000 etnik berkenaan melarikan diri ke Bangldesh.

Sebelum ini, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dilaporkan berulang lagi mengecam siasatan PBB sebagai tidak membantu dan berikrar kerajaannya tidak akan bekerjasama dengan mereka.

Bagaimanapun, pada hari ini, Suu Kyi memberi ucapan yang disiarkan di seluruh negaranya berhubung krisis Rohingya dan merayu kepada pemantau luar supaya melihat situasi itu di Myanmar.

Namun, beberapa jam selepas ucapan itu, Duta Myanmar ke PBB, Htin Lynn menegaskan semula kedudukan kerajaannya untuk enggan campur tangan terhadap resolusi yang menjurus penubuhan misi pencari fakta itu.

“Kami percaya, mewujudkan misi seperti itu tidak membantu tindakan penyelesaian dalam isu yang sudah sedia rumit di Rakhine,” kata Htin Lynn kepada majlis PBB.

 

 

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 September 2017 10:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]