Kategori Berita Utama

Perajurit negara setia kepada kerajaan, kata Menteri Pertahanan

12 APRIL: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran perajurit dilihat tidak mengendahkan pelbagai tohmahan yang dilemparkan oleh pihak tertentu, sebaliknya sentiasa setia bersama kerajaan semasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata beliau dimaklumkan ia berikutan golongan itu melihat perancangan teliti yang dibuat kerajaan melalui enam teras utama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan tentera negara.

Menurutnya lagi, elemen berkenaan termasuk kebajikan, perubahan, kesiapsagaan, Diplomasi, Keselamatan, dan Khidmat Negara, sekaligus membuktikan kerajaan turut memberikan keutamaan kepada pasukan berkenaan.

“Mereka lebih yakin dengan apa yang kita nak lakukan ini, termasuk veteran di mana mereka tahu selama ini kitalah yang membela mereka.

“Mungkin ada kelemahan yang perlu ditangani tetapi orang yang nak cuba eksploitasi keadaan menunding jari dan memperlekeh apa yang kita lakukan selama ini memang mudah,” katanya hari ini di ibu kota.

Hishamuddin yang juga Menteri Tugas berkata demikian selepas majlis pelancaran ikrar Kementerian Pertahanan yang bertemakan ‘Perteguh Negaraku’.

Pada Selasa lalu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memberi jaminan bahawa askar tidak akan mencampuri urusan politik serta hanya setia kepada raja dan berkhidmat kepada pemerintah.

Dalam pada itu beliau turut berkata Ketua setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Raja Mohamed Affandi akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung perkara yang dibangkitkan oleh bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz.

“Kita akan jawab dengan fakta, kita tidak ada yang nak sembunyi KSU dan semalam pun saya sudah jawab” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Semalam Hishamuddin dilaporkan berkata Rafidah mempunyai agenda untuk menggugat kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan terhadap aset ATM yang diswastakan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 April 2018 2:58 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: