Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Peralihan kuasa: Bukan retorik hakikat PBB utuh, muafakat

9 FEB: Peralihan struktur kepimpinan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berjalan lancar dan tenang dengan hanya jawatan naib presiden dipertandingkan.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata ada pihak berpandangan serong dengan mengatakan percaturan ini telah disusun dan tiada unsur demokrasi dalam pemilihan pemimpin.

“Apakah mereka beranggapan ketenangan, keakraban dan ciri bertolak ansur yang sebenarnya wujud dalam PBB tidak tulen?

“Persepsi jahil dan jahat sebegitu hanya wujud dalam akal dan jiwa orang yang suka melihat suasana perpecahan, berburuk sangka dan kacau bilau,” katanya ketika diminta mengulas mengenai Perhimpunan Agung PBB.

Perhimpunan Agung PBB kali ini akan sekali lagi menyaksikan pemerkasaan hala tuju masa depan parti melalui agenda pembangunan yang dilakar presiden parti Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Abdullah yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) berkata, falsafah politik PBB berasaskan budaya persefahaman, perpaduan dan toleransi bukan dapat dibentuk dalam masa singkat.

Ia terbentuk melalui proses teliti melalui pembinaan jati diri dan pemahaman sejarah PBB hasil kerjasama dan kemesraan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PBB yang lama dan muda.

“Dua sayap PBB, Bumiputera dan Pesaka sentiasa peka untuk tidak terlalu melampaui batas dalam berbicara sesuatu yang mungkin mengguris atau menyentuh sensitiviti rakan-rakan seperjuangan dalam parti.

“Sifat pemimpin-pemimpin PBB yang sentiasa bertindak matang berkiblatkan kemesraan dan bertoleransi menebal dalam setiap jiwa ahli PBB tulen,” jelasnya.

Beliau menafikan amalan sedemikian dalam PBB selama ini cerita dongeng atau retorik bagi mengaburi kelemahan parti.

“Hanya mereka yang cemburu dengan keunggulan PBB akan beranggapan begitu,” tegasnya.

Rekod menunjukkan keahlian parti sentiasa bertambah dan kemenangan semua calon PBB dan pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan mungkin wujud kelemahan parti.

“Kita mungkin ada kelemahan tapi itu bukan silap parti kerana keutuhan dan kecemerlangan PBB terletak pada keperibadian, keikhlasan dan kejujuran setiap ahli parti terutama pemimpin-pemimpin di peringkat tertinggi yang menjunjung kedaulatan parti politik tersebut,” ujarnya.

Katanya, pemimpin-pemimpin parti sama ada di peringkat pusat, cawangan mahupun ranting mesti menunjukkan kesungguhan untuk berkhidmat, kerajinan bekerja dan keberanian untuk bersuara demi kepentingan rakyat.

Jelasnya, secara amnya rakyat akan rasa meluat dan menyampah dengan mana-mana pemimpin politik bersifat kebangsawanan, malas dan tiada integriti.

“Perhimpunan PBB pada kali ini juga akan menyaksikan ramai pemimpin baharu dan muda termasuk di kalangan Pergerakan Wanita yang akan berkampung selama tiga malam di sini untuk menyaksi dan mendengar amanat presiden baharu tentang hala tuju politik dan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Bagaimanapun pada perhimpunan kali ini, tujuh calon bakal bertanding bagi empat jawatan naib presiden bagi Sayap Bumiputera.

Antara mereka yang bertanding Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datuk Talib Zulpilip.

Turut bertanding Menteri Muda Pendidikan dan Teknologi Penyelidikan Dr Annuar Rapaee, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail.

Manakala tiga jawatan naib presiden (sayap Pesaka) menyaksikan tiada pertandingan diadakan sekali gus mengesahkan akan dipegang oleh Dr Rundi, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Gerawat Gala.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata tiga usul iaitu ekonomi digital, pendidikan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara yang akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung Tritahunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Katanya perbahasan mengenai tiga perkara berkenaan pada mesyuarat badan induk sebelum ucapan penggulungan daripada presiden parti.

“Antara usul kita berkaitan ekonomi digital, pendidikan dan MA63 di mana semua ahli PBB atau perwakilan akan memberi pendapat.

“Ia amat penting sebab itu kita membawanya ke perhimpunan ini untuk mendapatkan sokongan penuh bagi meneruskan rundingan dan mendapatkan balik hak-hak kita yang terhakis secara baik,” katanya.

Tambah beliau Perhimpunan kali ini menjangkakan 5,000 perwakilan, pemerhati dan ahlinya menghadiri majlis perasmian yang diadakan esok.

Perhimpunan yang berlangsung dari hari ini hingga 11 Februari itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Februari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Sementara majlis perasmian perhimpunan Pemuda dan Wanita pada hari ini dirasmikan Ketua Menteri merangkap Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di venue sama.

“Kita mempunyai 82 cawangan dengan 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan saya merasakan kali ini jumlah perwakilan adalah 2,621 termasuk pemerhati.

“Kita menjangkakan semasa majlis perasmian oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kira-kira 5,000 ahli hadir memberi sokongan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 February 2018 5:13 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: