Kategori Berita Utama

Perangkap undian belah bahagian pembangkang cemaskan Dewan Rakyat

20 NOV: Pembangkang hari ini membuat kejutan apabila menuntut undi belah bahagian selepas Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin selesai menjawab perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Cadangan undian itu diminta Ahli Parlimen PKR G.Manivannan apabila menyedari bilangan ahli-ahli parlimen pembangkang lebih ramai berbanding ahli-ahli parlimen penyokong kerajaan.

Tindakan ahli-ahli parlimen pembangkang itu dipercayai ‘perangkap’ untuk menggagalkan bajet bagi KPDNKK ekoran rasa tidak puas hati mereka terhadap isu kenaikan harga minyak.

Proses undian ketika persidangan dipengerusikan Timbalan Speaker Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kecoh apabila ahli parlimen pembangkang menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tempoh mengira undi mengambil masa lebih panjang daripada biasa.

Ketika proses kiraan undi, beberapa ahli parlimen Barisan Nasional masuk ke Dewan sekaligus menambah bilangan mereka menyebabkan ahli parlimen pembangkang menjerit-jerit membantahnya.

Hasil daripada keputusan undian belah bahagian itu, seramai 52 bersetuju dengan bajet tersebut manakala 51 ahli parlimen tidak bersetuju dan dua lagi ahli parlimen dipercayai daripada PAS tidak mengundi.

Keputusan undian yang mencemaskan itu adalah proses belah bahagian pertama dituntut pembangkang setelah lapan kementerian menggulung di peringkat jawatankuasa.

Pada Isnin lepas, Bajet 2018 peringkat dasar juga lulus dengan undian belah bahagian.

Selepas Ronald mengumumkan keputusan undian itu, Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh yang tidak berpuas hati dengan keputusan belah bahagian telah menggunakan peraturan mesyuarat bagi mempertikai kelewatan ahli parlimen BN masuk ke dalam dewan ketika pengiraan undi sedang berlangsung.

Bagaimanapun Timbalan Speaker menegaskan beliau tidak melanggar peraturan mesyuarat kerana di dalam peraturan itu tidak disebutkan bahawa ahli parlimen yang baharu sahaja masuk ke dewan tidak boleh dikira.

“Dalam peraturan 41, 42 dan 43 tidak ada mengatakan time frame ada bunyi loceng lebih 2 minit, tidak ada mengatakan time frame orang yang baru masuk tak boleh dikira, tak tercatat dalam (peraturan mesyuarat) itu tak boleh dikira Yang Berhormat.

“Tiada pelanggaran yang dibuat, soal lambat masuk berlaku tidak ada had masa,” katanya bagi menjelaskan keadaan itu.

Keputusan tersebut membuatkan sebahagian ahli parlimen pembangkang tidak berpuas hati sekaligus bertindak keluar dari Dewan Rakyat.

Dewan kemudiannya diteruskan dengan menyambung perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya (KKR).

Keputusan belah bahagian dengan hanya menang satu undi ini hampir mengulangi kejadian pada 15 Disember 2009 apabila undian belah bahagian bagi bajet 2010 Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi peringkat jawatankuasa hanya menang satu undi sahaja.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 November 2017 9:44 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: