Kategori Berita Utama

Peraturan Jabatan Audit dikecualikan untuk bantuan bencana, darurat – PM

5 DIS: Kerajaan sedia menimbangkan bantuan khas kepada mangsa musibah banjir yang melanda beberapa negeri pantai timur ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita akan timbang apa yang patut selepas ini,” katanya kepada pemberita setelah ditanya sama ada kerajaan bersedia memberi bantuan khas kepada mangsa banjir seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Manakala jabatan kerajaan yang berkaitan pula, kata Perdana Menteri, tidak perlu terikat dengan peraturan Jabatan Audit Negara bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir atau yang terbabit dalam bencana alam.

TINJAUAN UDARA...Najib memerhatikan keadaan kawasan yang dilanda bencana banjir di Pahang dari atas helikopter.

TINJAUAN UDARA…Najib memerhatikan keadaan kawasan yang dilanda bencana banjir di Pahang dari atas helikopter.-Foto Bernama

Beliau mengulas mengenai masalah tidak mempunyai stok bekalan makanan mencukupi yang dihadapi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akibat terikat dengan peraturan Jabatan Audit Negara.’

“Kita beri pengecualian (untuk tidak terikat dengan peraturan itu) sebab emergency, dalam keadaan darurat, perlu membeli makanan dengan segera,” katanya.

Terdahulu perdana menteri menaiki helikopter meninjau kawasan yang dilanda banjir di Pahang.

Beliau turut singgah di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah Pekan, Sekolah Kebangsaan Sungai Miang, Pekan dan Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri di Rompin.

Mengenai bantuan yang dilaporkan lewat tiba dan tidak mencukupi di pusat-pusat pemindahan banjir, Najib berkata masalah logistik melibatkan jalan utama terputus selain kawasan banjir yang luas, adalah penyebab utama masalah itu.

Bagaimanapun ketika ini semua bentuk bantuan di pusat-pusat pemindahan terlibat berjalan dengan lancar, kata perdana menteri.

“Dalam lawatan saya hari ini (di pusat pemindahan terbabit), saya berpuas hati bahawa segala urusan membantu mangsa-mangsa banjir itu berjalan dengan baik, dan mereka telah mendapat layanan yang boleh dikatakan memuaskan daripada semua pihak termasuk daripada kerajan negeri, pejabat daerah dan agensi kerajaan yang lain,” katanya.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 December 2013 8:15 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: