Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Perjanjian 1963, Sarawak hantar peguam ke London

1 JULAI: Kerajaan Sarawak menghantar sepasukan peguam ke London bagi meneliti Perjanjian Malaysia 1963 dalam menentukan hak-hak sebenar yang termaktub semasa negeri itu menyertai Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata pasukan peguam berkenaan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan serta Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

“Memang kita teruskan usaha bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk mendapatkan hak kita yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia.

“Sebab itu kita hantar Sharifah Hasidah dan kumpulan peguam ke London untuk melihat dan mencari rujukan,” katanya, pada majlis ramah tamah Hari Raya Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) malam tadi.

Abang Johari (foto) bagaimanapun tidak menyatakan bila serta tempoh masa pasukan berkenaan berada di London.

“Perjanjian ini bukan sebarang perjanjian, kita mahu dapat fakta-fakta yang betul. Sebab apabila kita hendak menuntut hak, kita mesti buat ‘homework’, kalau tidak, kita tuntut sebarangan, susah,” jelas beliau.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 July 2017 6:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: