Kategori Berita Antarabangsa

Perlanggaran tren SMRT insiden kedua dalam 30 tahun

16 NOV: Perlanggaran membabitkan dua tren Transit Aliran Massa Singapura (SMRT) di stesen Joo Koon adalah insiden kedua dalam sejarah 30 tahun MRT beroperasi, lapor Channel NewsAsia.

Laporan itu berkata insiden pertama berlaku pada 5 Ogos 1993, enam tahun lalu sistem SMRT mula beroperasi pada 1987.

Ia membabitkan perlanggaran antara dua tren di stesen Clementi dan menyebabkan 156 penumpang cedera.

Sesetengah daripada mereka tercampak pada panel dan susur besi atau bertimbun atas satu sama lain.

Nahas itu berlaku kerana tren menuju ke timur dari Jurong berhenti di stesen MRT Clementi selama dua minit lebih lama daripada dijadualkan kerana kesilapan teknikal.

Laporan itu berkata, operasi di ketiga-tiga stesen terbabit Clementi, Buona Vista dan Commonwealth, disambung semula dalam sehari selepas pemeriksaan intensif dijalankan oleh jurutera dari SMRT, ketika itu dikenali sebagai Mass Rapid Transit Corp (MRTC).

Panel penyiasat bebas ditubuhkan untuk menjalankan siasatan insiden itu.

Pada 19 Oktober, panel penyiasat berkata nahas itu disebabkan oleh tumpahan minyak 50 liter dari lokomotif penyelenggaraan, yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kira-kira jam 5 pagi pada hari kemalangan.

Panel penyiasat juga berkata nahas itu dapat dielakkan jika kakitangan memahami betapa seriusnya keadaan dan menangani tumpahan minyak secara agresif atau segera.

Susulan dapatan itu, MRTC menyemak semula prosedur operasi standard menghendaki stesen master memeriksa trek platform untuk mengesan minyak dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku tumpahan minyak.

Dalam pada itu, pengendali tren mengumumkan rancangan untuk membeli lokomotif baharu bagi menggantikan lokomotif sedia ada untuk penyelenggaraan trek kerana lokomotif baharu tidak terdedah kepada kebocoran hidraulik yang sama.

Perlanggaran hari ini menyebabkan 28 penumpang termasuk dua kakitangan SMRT cedera ringan.

Sistem SMRT membentuk komponen utama sistem kereta api di Singapura dengan rangkaian meliputi laluan sepanjang 198.6 kilometer dan mempunyai 119 stesen.

Lapan laluan itu dibina oleh Penguasa Pengangkutan Darat, sebuah lembaga berkanun Kerajaan Singapura, dan tren dikendalikan SMRT Corporation dan SBS Transit.-Bernama

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 November 2017 9:31 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: