Kategori Berita Utama

Permohonan maaf Dr. Mahathir sekadar alasan- Salleh

31 DIS: Tun Dr Mahathir Mohamad didesak memperincikan permohonan maaf yang disuarakannya ketika menyampaikan ucapan dasar perhimpunan agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), semalam.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak, menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai alasan, berbanding permohonan maaf yang sepatutnya disampaikan secara ikhlas dan ditujukan kepada pihak tertentu.

“Mahathir cuba maksudkan kerugian tukaran asing, skandal Maminco (pada tahun 1980-an), memenjarakan (Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, krisis perlembagaan atau Perwaja (Steel Sdn Bhd)?

Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia(PPBM) Tun Dr Mahathir berucap pada sesi pergulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Peribumi Bersatu Malaysia di Shah Alam

“Sebaliknya, beliau meminta maaf terhadap semua kesalahan yang dilakukannya sepanjang 22 tahun menyandang jawatan Perdana Menteri?” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman blog rasminya, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM menyifatkan dirinya sebagai manusia biasa dan tidak lari daripada melakukan kesilapan, justeru mengemukakan permohonan maaf secara terbuka ketika mengakhiri ucapan dasar yang disampaikan di Pusat Konvensyen Ideal, di Shah Alam semalam.

Bagaimanapun, Mahathir menjelaskan permohonan maaf itu tidak bermakna dirinya terbabit dalam melakukan kesalahan, sebaliknya bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak atau dikaitkan dengan sebarang peristiwa.

Salleh berkata, tindakan bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu sekadar cuba ‘menyelitkan’ sesuatu elemen penyambung ketika berucap di atas pentas.

“Ia sama dengan cara kita cakap ‘oh ya… sebelum saya mengundur diri’. Permohonan maaf seperti itu sangat umum dan boleh diterjemahkan kepada pelbagai maksud.

“Jika beliau (Dr Mahathir) ikhlas nak minta maaf, maka ia perlu lebih terperinci dengan menyatakan pada pihak mana permohonan itu ditujukan.

“Sekiranya tiada penjelasan lanjut, permohonan maaf seperti ini boleh diketepikan kerana tidak mengandungi sebarang butiran atau digunakan sebagai ‘tiket berlindung’ apabila timbul keperluan untuk berbuat demikian.

“Apa sekali pun, permohonan maaf Dr Mahathir adalah sekadar alasan terhadap semua kesalahannya dengan mengatakan manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan, justeru jangan tuding jari kepadanya kerana beliau hanya manusia biasa,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 December 2017 12:40 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: