Kategori Analisa Isu Semasa

SATU LAWAN SATU: KELEBIHAN PADA BN

Pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional dan PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau 4 Nov ini akan menjadi medan kepada kedua-dua parti menonjolkan ‘kehebatan’ calon masing-masing.

Malah turut memberi ruang kepada pengundi untuk membuat perbandingan mengenai kemampuan calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan Mohd Azam Abd Samat dari PAS, dalam membawa perubahan kepada Sungai Limau, yang didakwa jauh ketinggalan daripada kawasan sekeliling seperti Guar Chempedak dan Gurun, yang terletak dalam Parlimen yang sama iaitu Jerai.

pilihanrayaxxcPensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata tanpa calon Bebas, tumpuan para pengundi hanya dihadkan kepada dua calon ini sahaja.

Jika wujudnya calon Bebas, walaupun mungkin tidak boleh menang tetapi boleh memberi kesan kepada jumlah undi calon-calon dari parti politik yang bertanding, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Malah, ketiadaan calon Bebas juga memperlihatkan tiada wujudnya masalah dalaman di peringkat bahagian dan cawangan Umno bahagian Jerai walaupun terdapat pertukaran pucuk pimpinan di bahagian pada Sabtu lepas, katanya.

“Kalau pada pilihan raya umum dulu (pada Mei lepas) ada ramai calon Bebas. Di DUN Sungai Limau sahaja ada dua. Kalau calon Bebas itu orang Umno, dia boleh memberi kesan kepada undi kepada BN. Jika calon Bebas itu orang PAS, kesannya kepada PAS,” katanya.

Ahmad Atory berkata pertandingan kali ini juga dilihat memberi sedikit kelebihan kepada calon BN kerana dilihat sebagai lebih berpengalaman.

Ahmad Sohaimi yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah Sejarah Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) adalah bekas pensyarah kanan Jabatan Pengajian Kemasyarakatan, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

“Orang ramai kenal dia. Beliau dihormati oleh orang Umno…orang PAS pun hormat dia. Dia ada kelayakan tinggi dan dari latar belakang akademik. Sebelum ini, bekas Adun (Sungai Limau) Azizan ( Tan Sri Azizan Abdul Razak dari PAS) pun bekas pensyarah,” katanya.

Allahyarham Azizan, yang memiliki ijazah muda dalam bidang syariah dari Universiti Al-Azhar Mesir dan ijazah perundangan dari Universiti of Kent, Canterbury, United Kingdom, pernah bertugas sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum bertanding dalam pilihan raya umum 1995 untuk kerusi DUN Sala, yang kini dikenali sebagai Sungai Limau setelah proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2004.

Bagi Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, ketiadaan calon Bebas bermakna tiada undi pecah.

Katanya, pada PRK ini, persaingan adalah daripada dua parti, yang kedua-duanya mempunyai kekuatan masing-masing dan pernah menguasai kawasan DUN tersebut.

Mengenai pemilihan calon, Mohd Azizuddin berkata beliau melihat pemilihan calon muda oleh PAS lebih kepada usaha untuk mengembalikan sokongan pengundi muda yang dilihat semakin memihak kepada BN pada PRU lepas.

“Pada PRU lepas, ramai golongan muda terutama dari luar Sungai Limau yang memilih mengundi BN,” katanya.

Beliau berkata pada PRK ini, terdapat kira-kira 11,000 pengundi muda yang akan membuat pemilihan.

“Bagi BN pula mereka meletakkan calon yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki oleh penduduk di Sungai Limau seperti golongan akademik dan banyak berjasa kepada penduduk tempatan,” katanya.

DUN Sungai Limau mempunyai 27,222 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu, 25,323 orang atau 93 peratus ialah pengundi Melayu, Cina (1,842 orang atau 6.7 peratus), India (15 orang atau 0.6 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain.-23/10/2013 BERNAMA

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 October 2013 11:38 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: