Kategori Analisa Isu Semasa

PERTEMPURAN SENGIT KERUSI PARLIMEN WILAYAH PERSEKUTUAN BAKAL MENDEBARKAN

8 MEI: Hari-hari yang dinantikan bakal tiba kurang daripada 12 jam buat semua yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Antara yang menjadi tumpuan adalah semua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Dengan menampilkan muka baru dan lama sudah pasti ia bakal mengubah lanskap politik jika mereka berjaya meraih undi daripada penyokong masing-masing.

Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan barisan calon yang tidak kurang hebat dilihat bakal memberi saingan sengit kepada pembangkang daripada PH dan PAS.

Mengambil contoh apa yang berlaku di Lembah Pantai, bekas ahli parlimennya Nurul Izzah Anwar gagal sama sekali memberi pembangunan sepatutnya malah rintihan dan aduan masyarakat setempat juga tidak diendahkannya langsung.

Ini sekaligus membuatkan Nurul lari ke kawasan lain yang dianggap ‘kerusi selamat untuk PKR’ iaitu di Permatang Pauh.

Manakala sepanjang lima tahun lalu hanya Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga calon BN sahaja yang sentiasa turun padang membantu rakyat.

Di Parlimen Batu pula menyaksikan persaingan dua penjuru sahaja apabila calon PH daripada PKR iaitu Tian Chua digugurkan kelayakannya untuk bertanding kerana mempunyai kes mahkamah yang membabitkan denda RM2,000.

Tian Chua juga gagal dalam saman pemula yang dikemukakan terhadap SPR apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman yang difailkan Naib Presiden PKR itu dengan memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Menurut hakim Tian Chua sepatutnya memfailkan saman tersebut dengan cara petisyen pilihan raya dan bukannya dengan saman pemula.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan calon GERAKAN yang mewakili BN Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berdepan dengan tiga lagi pencabar melibatkan calon PAS dan dua Bebas.

Namun ia dilihat bukan laluan mudah buat Dominic kerana tetap perlu berdepan dengan calon PAS Azhar Yahya serta V.M Panjamothy Muthusamy dan P. Prabakaran Paramesnaran yang masing-masing bertanding atas tiket Bebas.

Manakala di Parlimen Bandar Tun Razak yang menyaksikan BN menampilkan calon Pemuda iaitu Adnan Seman bakal disaingi calon daripada PKR Datuk Kamaruddin Jaafar dan PAS Dr Rosni Adam.

Kamaruddin sememangnya dikenali sebagai antara ‘senior’ dalam dunia politik yang juga sebelum ini penyandang kerusi parlimen Tumpat dilihat bakal memberi saingan sengit kerana kreadibilitinya di Dewan Rakyat tidak dapat disangkalkan lagi.

Sebelum ini kerusi Bandar Tun Razak disandang oleh bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR dan kemudiannya menjadi Bebas selepas dipecat dengan  majoriti 11,832 undi.

Parlimen Wangsa Maju pula ditandingi calon daripada MCA yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Datuk Seri Yew Teong Look (BN), Razali Tumirin (PAS) dan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PKR).

Kontroversi yang melanda Wangsa Maju melibatkan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah pada awalnya kerana berhasrat bertanding di parlimen tersebut dan bertindak memboikot kempen kerana tidak tercalon akhirnya berjaya diselesaikan.

Setiawangsa menyaksikan pertembungan antara Tan Sri Zulhasnan Rafique (UMNO), Ubaid Abd Akla (PAS) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR) juga bakal memberi saingan sengit apabila Nik Nazmi sering melaungkan apa yang ada pada Zulhasnan sehingga beliau dicalonkan semula sedangkan penyandang sebelum ini Datuk Ahmad Fauzi Zahari sudah membuat gerak kerja yang padu.

Manakala di Titiwangsa, persaingan melibatkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-UMNO), Rina Mohd Harun (PKR-PPBM) dan Mohamad Noor Mohamad (PAS) dilihat bakal memberi laluan mudah kepada Menteri Kewangan Kedua itu hasil gerak kerjanya yang tersusun dan konsisten.

Di Putrajaya, kerusi parlimennya menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-UMNO), Zainal Abidin Kidam (PAS) dan Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (PKR-PPBM).

Di Labuan, pertandingan memperlihatkan pertarungan empat penjuru melibatkan Datuk Rozman Isli (BN-UMNO) dicabar Ahmad Junid @ Junit Mohd Aling (PAS), Noor Halim Zaini (Warisan) dan Siti Zaleha S.W Ibrahim (Harapan Rakyat).

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), BN menguasai kerusi Titiwangsa dan Setiawangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta kerusi Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sembilan kerusi lain di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah Kepong (DAP), Batu (Keadilan) Wangsa Maju (Keadilan), Segambut (DAP), Bukit Bintang (DAP), Lembah Pantai (Keadilan), Seputeh (DAP), Cheras (DAP) dan Bandar Tun Razak (disandang bekas anggota Keadilan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang kemudian menjadi anggota Parlimen Bebas).

Mungkinkah pada PRU14 ini bakal membuktikan BN dapat menguasai lebih banyak kerusi Parlimen memandangkan pertaruhan yang diberikan cukup sengit.

Sama-sama kita nantikan keputusannya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 May 2018 11:41 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: