Kategori Berita Utama

Pertikai kredibiliti MOSTI, MP DAP kena bedal

6 NOV: Bencana banjir terburuk yang melanda Pulau Pinang sejak minggu lalu menghangatkan sesi parlimen apabila pertanyaan wakil rakyat DAP, Tan Kok Wai dilabelkan sebagai tidak mengikuti maklumat terbaharu yang disalur melalui media massa.

Situasi tercetus apabila Ahli Parlimen Cheras itu dalam soalan tambahannya mendakwa pihak Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia gagal memaklumkan kepada rakyat bagi membuat persediaan menghadapi banjir di Utara terutama di Pulau Mutiara.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah membidas kenyataan itu dan berkata MOSTI pernah mengeluarkan amaran tahap jingga kemungkinan hujan luar biasa bakal melanda utara Semenanjung pada 4 November sekitar 6 petang menerusi televisyen.

“Tidak benar mengatakan MOSTI tidak mengeluarkan amaran awal.

“Ini menunjukkan Yang Berhormat tidak tengok televisyen.

“Yang berhormat hanya tahu banjir itu bila dah berlaku banjir,” kata beliau dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Tambah  Abu Bakar, Jabatan Meteorologi juga sudah menyebarkan amaran hujan lebat peringkat kuning akan berlaku di beberapa negeri menerusi televisyen pada 1 Nov lalu.

“Pemantauan memberitahu ramalan hujan lebat akan berlaku satu atau dua hari lagi daripada tarikh tersebut,” kata Ahli Parlimen Tangga Batu itu.

Kejadian banjir di Pulau Pinang disifatkan sebagai bencana terburuk pernah berlaku di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan terpaksa menghubungi Timbalan Perdana Menteri. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada awal pagi Ahad untuk memohon bantuan dihantar segera.

Setakat pagi tadi, tujuh mangsa disahkan menjadi korban banjir tersebut.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 November 2017 1:01 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: